PUTRAJAYA: Waktu Bekerja Berlainan (WBB), sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam masih di peringkat cadangan dan belum mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan sebarang penambahbaikan perkhidmatan termasuk dari segi kebajikan petugas adalah usaha yang berterusan.
“WBB sebenarnya adalah satu cadangan yang masih di peringkat cadangan. Apa pun ini (hanya) cadangan, masih dalam status cadangan dan belum sampai kepada saya, (apatah lagi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Malangnya semacam didedahkan, mungkin sengaja didedahkan. (Apa pun) saya belum lagi meluluskan cadangan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Sekolah di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini menyuarakan kebimbangan pelaksanaan WBB untuk pekerja penjagaan kesihatan awam akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada, menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Sistem perintis itu dikatakan boleh menyebabkan kerugian pendapatan bagi pegawai perubatan dan pakar.
Di bawah sistem baharu ini, elaun ‘on-call’ pada hari bekerja tidak akan diberikan dan syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dalam tempoh 45 jam seminggu.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, sebarang kegusaran yang disuarakan pelbagai pihak berkaitan isu berkenaan akan diambil maklum.
“Apa pun kegusaran, ia ada kebaikan dan keburukan pada setiap cadangan itu, sebab itu saya mahukan pastikak, kita akan lalui libat urus, dengan semua pihak, pakar, pengarah hospital, ketua jabatan, itu sangat mustahak.
“Bahasa mudahnya ialah saya belum lagi meluluskannya dan ia (cadangan itu) masih lagi melalui proses penambahbaikan,” katanya.-BH Online