Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Reformasi industri dan beras serta pembangunan sektor ruminan digariskan sebagai dua tumpuan utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu reformasi industri padi dan beras negara bertujuan memastikan kemandirian bekalan tempatan dan pada masa sama membawa industri itu ke tahap lebih tinggi dengan mengutamakan pendekatan lebih lestari, berdaya saing serta mesra alam.

Katanya, KPKM merangka langkah bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah dan menjamin keterjaminan bekalan beras negara yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Usaha ini digerakkan dengan mengambil kira pelbagai cabaran dalam rantaian padi dan beras serta reformasi tadbir urus yang komprehensif.

“Langkah komprehensif ini penting bagi memastikan bekalan beras dalam negara mencukupi dan terjamin serta tumpuan perlu diberikan kepada beberapa komponen di sepanjang rantaian nilai industri padi beras negara. 

“Komponen membabitkan pengukuhan pengairan di kawasan jelapang dan luar jelapang padi negara, pembangunan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak, pembangunan semula sawah terbiar di seluruh negara dan penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras,” katanya 

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Amanat Tahun Baharu 2025 di kementeriannya di sini, hari ini. 

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.

Mohamad berkata, Jawatankuasa Khas Pemerkasaan Industri Ruminan ditubuhkan pada 22 November lalu bagi memastikan produktiviti sektor pertanian terus meningkat, di samping menjaga kebajikan pesawah, penternak dan nelayan.

Beliau meminta semua pihak melakukan inovasi dalam bidang pertanian dan meneroka teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), data raya (Big Data), internet benda (IoT) dan dron untuk dimanfaatkan secara meluas bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan. 

Katanya, KPKM terus komited mengimbangi antara keperluan fiskal negara dan tanggungjawab sosial kepada rakyat. 

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, KPKM sedang merangka peranan dan struktur harga beras yang dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet tahun ini.-BH Online