KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membidas sesetengah pihak yang menggesa supaya memboikot program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Beliau berkata, boikot seperti itu adalah perbuatan yang tidak wajar memandangkan banyak keluarga yang mendapat manfaat daripada program berkenaan.
“Ada yang suruh boikot program IPR supaya bankrap program ini. Boikot saya tak apa, sebab memang fahaman politik kita berbeza.
“Jangan boikot miskin tegar dan keluarga berpendapatan rendah yang mendapat manfaat dari IPR.
“Membantu orang susah itu satu kewajipan dalam Islam, kalau kita tidak boleh sedekah terus, kita bantu dengan beli jualan mereka,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial rasmi beliau, hari ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Hanifah Hajar Taib pada sesi soal di Dewan Rakyat bulan lalu memaklumkan seramai 2,536 golongan sasar membabitkan miskin tegar, miskin dan B40, sudah diluluskan kerajaan bagi menyertai tiga inisiatif di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), sehingga bulan lalu.
Menurutnya, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan penyertaan pelbagai kaum di dalam program IPR.
Beliau berkata, berdasarkan pelaksanaan inisiatif IPR itu, ada peserta yang berjaya meraih hasil jualan sehingga RM5,000 setiap bulan melalui operasi mesin layan diri dalam Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN).
Katanya, sehingga kini terdapat tiga inisiatif rintis yang dilaksanakan di bawah IPR iaitu Inisiatif Usahawan Tani, IPR-INTAN, IPR-INSAN, dan Inisiatif Operator Perkhidmatan, IPR-IKHSAN.
“Daripada 2,536 golongan sasar itu, 79.2 peratus peserta adalah dari masyarakat Melayu, etnik Sabah dan Sarawak (16.2 peratus), India (2.2 peratus), masing-masing satu peratus bagi Cina dan Orang Asli serta 0.4 peratus masyarakat Siam.
“Kerajaan bertekad untuk meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang sosioekonomi. Dalam hubungan ini, Kementerian Ekonomi sedang mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan penyertaan pelbagai kaum ke dalam program IPR,” katanya.
Pada masa sama, Hanifah Hajar berkata, melalui IPR-INTAN, sejumlah 1,485 peserta diluluskan pelaksanaan program di 16 lokasi, berkeluasan 1,306 ekar (528 hektar) dengan pencapaian hasil yang memberangsangkan.
“Sebagai contoh, peserta yang mengusahakan tanaman cili fertigasi dan terung fertigasi di Ulu Kinta, Perak berjaya meraih pendapatan bersih bulanan RM2,000.
“Kedua, IPR-INSAN, sehingga 15 Oktober lalu, seramai 161 peserta mendapat manfaat daripada pelaksanaan program dengan purata jualan harian antara RM90 hingga RM400.
“Malah, terdapat peserta yang mengoperasikan mesin layan diri IPR-INSAN di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar, Perak berjaya meraih hasil jualan bulanan sehingga RM5,000,” katanya.
Beliau berkata, bagi IPR-IKHSAN, sejumlah 890 peserta diluluskan pelaksanaan program di seluruh negara.
Katanya, pihak kementerian turut berdepan cabaran dalam mengemaskini permohonan antaranya terdapat peserta bertukar fikiran dan tidak berminat selepas mengetahui bahawa bantuan bukan dalam aspek kewangan namun pelaksanaan pekerjaan.
“Ada juga berdepan cabaran mendapatkan tapak bersesuaian dan mesin layan diri,” katanya.-BH Online