KUALA LUMPUR: Selepas terhimpit akibat pandemik COVID-19 dan kurang tawaran projek kerajaan yang sesetengahnya sebelum ini ditangguh atau dibatalkan, kontraktor Bumiputera boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memberi jaminan meningkatkan pembabitan mereka dalam projek berkaitan lebuh raya di negara ini.
Jaminan berkenaan diberikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan disambut baik persatuan kontraktor serta dewan perniagaan Melayu yang menyifatkan ia perkembangan amat positif bagi memastikan kontraktor Bumiputera tidak dipinggirkan.
Pada perasmian Program Matchmaking Persatuan Kontraktor Bumiputera Bersama Syarikat Konsesi Lebuh Raya di Bangi semalam, Ahmad berkata, penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek berkaitan lebuh raya pada masa depan akan ditingkatkan, salah satunya adalah menerusi program padanan dengan syarikat konsesi, sekali gus meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera.
Bagi sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, katanya, nilai projek berkaitan lebuh raya yang dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera gred pendaftaran G1 hingga G7 setakat suku ketiga tahun ini mencapai RM15.09 bilion, menyamai nilai projek diagihkan kepada golongan itu pada keseluruhan 2023, iaitu RM15.10 bilion.
Daripada jumlah projek diagihkan bagi tempoh Januari hingga September lalu itu pula, beliau berkata, projek bernilai RM335 juta dianugerahkan kepada 1,631 syarikat Bumiputera G1 berbanding RM333 juta yang diterima 1,585 syarikat kelas berkenaan pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan peningkatan pembabitan syarikat Bumiputera dalam projek lebuh raya, yang mencerminkan kemampuan dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara,” katanya.
Kontraktor kelas G1 boleh memohon projek bernilai sehingga RM200,000, G2 (sehingga RM500,000), G3 (sehingga RM1 juta), G4 (sehingga RM3 juta), G5 (sehingga RM5 juta), G6 (sehingga RM10 juta) dan G7 tiada had siling tender.
Bukti kerajaan serius
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, berkata langkah menganugerahkan projek berkaitan lebuh raya kepada kontraktor Bumiputera membuktikan kerajaan serius memastikan golongan itu turut mendapat manfaat hasil pembangunan negara.
“Ini perkembangan amat positif dan kami yakin dengan usaha dilaksanakan kerajaan, terutama Kementerian Kerja Raya (KKR). Malah, Timbalan Menteri Kerja Raya memberi jaminan akan sentiasa memantau perkara ini supaya kontraktor Bumiputera tidak dipinggir,” katanya.
Beliau berharap usaha terbabit dapat ditingkatkan lagi untuk tahun depan dengan 33 syarikat konsesi lebuh raya yang ada di negara ini dapat memberi perhatian serius kepada keperluan kontraktor Bumiputera, selain memastikan kuota yang diberikan benar-benar sampai kepada kontraktor asli, bukan sebaliknya atau kontraktor ‘Ali Baba’.
BH pada Disember tahun lalu, melaporkan sekurang-kurangnya 70 peratus atau 90,000 daripada lebih 140,000 kontraktor Bumiputera yang berdaftar di seluruh negara ketika itu semakin terhimpit akibat kurang mendapat tawaran projek kerajaan, yang sesetengahnya ditangguh atau dibatalkan.
Malah, ada antara mereka tidak mendapat satu pun projek dalam tempoh beberapa tahun sebelum itu, terutama kontraktor kelas rendah G1 hingga kelas pertengahan G5, sehingga sesetengah mereka terpaksa melakukan kerja lain demi kelangsungan hidup, termasuk menjadi tukang rumah, petani, membuka kedai runcit dan nelayan.
Situasi itu dikaitkan dengan pertukaran kerajaan sebelum itu memberi kesan kepada semua kontraktor berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Bantu kontraktor kecil
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF), Tukiman Radion, berkata peluang diberikan kerajaan, terutama dalam kerja penyelenggaraan lebuh raya amat membantu kontraktor kecil, juga bukti keprihatinan Kerajaan MADANI tidak meminggirkan mereka.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kontraktor kecil dalam kerja penyelenggaraan lebuh raya. Ini peluang amat baik, sudah lama kami tunggu untuk bersama dalam projek Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.
Katanya, PERKOBF juga menyambut baik langkah kerajaan menerusi LLM membuka peluang kepada kontraktor Bumiputera untuk terus bersama-sama melaksana projek untuk tahun depan dan pihaknya akan membabitkan seramai mungkin kontraktor kecil dari seluruh Malaysia.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=358&adk=1983910584&adf=2803648221&pi=t.aa~a.1654364369~i.47~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1735024007&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×358&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2024%2F12%2F1340773%2Ftambah-kontraktor-bumiputera-dalam-projek-lebuh-raya-negara&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1735024008250&bpp=1&bdt=966&idt=0&shv=r20241212&mjsv=m202412090101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3Dc9d14430c2ee8602%3AT%3D1735018058%3ART%3D1735023745%3AS%3DALNI_Ma2d91H54K36Hb0zJnrJdWKg8f-_w&gpic=UID%3D00000fb53e09161f%3AT%3D1735018058%3ART%3D1735023745%3AS%3DALNI_MbtivhAnuWDqafpJzp3b2v2GQRTvw&eo_id_str=ID%3D91282fe7c5274f19%3AT%3D1735018058%3ART%3D1735023745%3AS%3DAA-AfjbEfcfNQmEWx7KtWM5WZrvv&prev_fmts=0x0%2C430x358&nras=3&correlator=6239731747884&frm=20&pv=1&u_tz=480&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=4553&biw=430&bih=845&scr_x=0&scr_y=181&eid=31089330%2C95345966%2C95347432&oid=2&pvsid=1318478820766578&tmod=546197950&uas=3&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C845%2C430%2C845&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=3&uci=a!3&btvi=2&fsb=1&dtd=6
“Difahamkan, lebih RM1 bilion diperuntukkan untuk kontraktor kecil dalam kerja penyelenggaraan di bawah LLM. Jadi, kami berterima kasih kepada KKR, sambut baik peluang ini,” katanya.
Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan pula melihat penganugerahan projek berkaitan lebuh raya kepada setiap lapisan gred kontraktor Bumiputera sebagai langkah Kerajaan MADANI memperkasa komuniti usahawan di negara ini.
“Ramai usahawan Bumiputera hari ini belum bebas kesan pandemik, perlu dibantu kerana mereka juga pemangkin ekonomi. Projek berkaitan lebuh raya diagih kepada kontraktor Bumiputera bukti kerajaan mahu membantu mereka aktif dalam pembangunan negara dan menjadi nadi penggerak ekonomi.
“Peruntukan kepada kontraktor G1 hingga G4 penting kerana ia memberi peluang mereka melaksanakan projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam berkaitan,” katanya.
Sohaimi berharap usaha memperkasa perniagaan Bumiputera dilaksanakan secara holistik dan sampai kepada kumpulan sasar secara menyeluruh serta diagihkan sama rata, bukannya dimonopoli golongan tertentu kerana masih ramai dalam kalangan kontraktor berada dalam situasi sukar disebabkan keadaan ekonomi yang mencabar.-BH Online