KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak tergugat dengan ancaman diterima susulan larangan menggunakan laluan pangkalan haram menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata PDRM terus komited dengan tanggungjawab menegakkan undang-undang.
“Kita sedang menganalisis maklumat risikan yang diperoleh, bagaimanapun ancaman sebegini tidak perlu digentarkan.
“Apa yang kita lakukan berlandaskan undang-undang Malaysia, maka menjadi tugas polis untuk pastikan rakyat mematuhinya.
“PDRM tidak gentar dengan mana-mana ancaman, kita sentiasa berwaspada dan bersiap siaga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Polis Kelantan hari ini mengesahkan menerima pelbagai ancaman susulan penguatkuasaan larangan menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand, di sepanjang Sungai Golok.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilapor berkata, ancaman itu diterima pihaknya sejurus larangan menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi keluar dan masuk ke negara ini dari Thailand, dikuatkuasakan bermula 1 Disember lalu.
Tanpa memperincikan jenis ancaman, Mohd Yusoff memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara itu kerana ia membabitkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Razarudin berkata, anggota dan pegawai yang bertugas di sempadan diingatkan sentiasa bersiap siaga dan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.
“Kita perlu bersedia walaupun tidak tahu maklumat itu betul atau tidak. Ada kemungkinan ia menjadi kenyataan, dan ini memerlukan kesiapsiagaan kita.
“Polis tidak boleh gentar terhadap sebarang ancaman kerana jika kita tunduk kepada tekanan, ia akan membuka ruang kepada pelanggaran undang-undang,” katanya.
Katanya, PDRM sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan terus kekal terjamin.
“Kita akan terus melaksanakan undang-undang untuk memastikan sempadan negara kekal selamat.
“Ini sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin,” katanya.
Polis Kelantan dilapor akan menahan sesiapa yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Mereka yang melakukan kesalahan itu akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.-BH Online