Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkukuhkan pendekatan kerjasama terbuka dengan negara lain, sebagai antara strategi menuju ke tahun depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pendekatan itu berasaskan prinsip yang menjadi panduan kepada penggubal dasar dalam mengukuhkan hubungan Malaysia termasuk kerjasama dengan ekonomi penting seperti China, yang menjadi penanda aras.

“Untuk mencapainya, model pelaburan langsung asing (FDI) lama di Asia Tenggara perlu berubah daripada sekadar fokus kepada insentif cukai dan pengambilan pekerja kos rendah, kepada pemindahan teknologi dan inovasi tempatan.

“Apabila Kementerian Ekonomi memperkenalkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun depan, model kerjasama teknologi dengan negara lain akan diberi penekanan.

“Fokus ini membabitkan harta intelek, penyelidikan & pembangunan (R&D), serta pemilikan teknologi bagi membolehkan kita melonjak keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Malaysia-China di sini hari ini. 

Rafizi berkata, kerjasama dengan China dalam inovasi adalah penting bagi Asia Tenggara dalam fasa pembangunan untuk menjadi kuasa pengguna inovatif, dengan populasi kelas pertengahan yang dijangka mencapai 250 juta orang dalam dua dekad.

“Asia Tenggara bakal menjadi rantau dengan perdagangan tertinggi di dunia, sama ada dalam kalangan negara ASEAN atau dengan wilayah lain. ASEAN berjaya berdagang merentasi spektrum geopolitik yang luas, dengan Malaysia memainkan peranan penting sebagai penghubung global kepada pelbagai negara.

“China adalah contoh yang menonjol di sini. ASEAN dan China adalah rakan dagang terbesar antara satu sama lain, dengan kadar pertumbuhan yang terus meningkat dalam dekad ini,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadualkan ditandatangani pada Januari 2025 menunjukkan bagaimana persaingan sihat boleh digabungkan dengan kerjasama dalam bidang pelengkap.

“Ini mencerminkan keyakinan bahawa prinsip ‘jiran yang baik’ mampu memperbesar saiz ekonomi untuk semua pihak.

“Rantaian bekalan semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui adalah satu lagi contoh. Semakin dekat dan baik hubungan dengan jiran anda, semakin berdaya tahan rantaian bekalan anda dalam jangka masa panjang.

“China akan kekal sebagai jiran geografi yang dekat, serta negara yang rapat dari segi sejarah, budaya, malah hubungan kekeluargaan dengan Malaysia,” katanya.

Rafizi berkata, dalam dunia yang sarat dengan perang dagangan dan persaingan teknologi, mudah untuk melihat perdagangan hanya dari sudut angka, model teknologi dan terminologi undang-undang.

“Namun, sejarah Malaysia membuktikan bahawa perdagangan sentiasa menjadi titik permulaan yang membuka pelbagai kemungkinan lain, melangkaui angka import-eksport semata-mata.

“Pada 2025, Malaysia akan terus mengukuhkan kolaborasi ekonomi global bagi membuka lebih banyak manfaat. Dengan populasi kecil sekitar 30 juta orang, inilah cara ekonomi Malaysia yang pelbagai dapat menyesuaikan diri dan berjaya di pelbagai pelusuk dunia,” katanya.-BH Online