Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Shah Alam: Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka mula mengeluarkan surat tawaran untuk menunaikan ibadah haji bagi tahun 2025/1446 Hijrah pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, surat tawaran itu akan dikeluarkan kepada jemaah terpilih selepas majlis pengumuman kos, bayaran dan bantuan kewangan haji 1446H.

“Sekitar 12 tengah hari selepas pengumuman dibuat, surat tawaran haji akan dikeluarkan kepada jemaah yang terpilih untuk 2025 bagi menunaikan ibadat itu. Mereka (yang terpilih) boleh tengok menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan sumbangan program Iqra TH IPTA kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, Mohd Na’im berkata, ruang itu akan digunakan bagi memberi lebih banyak penerangan berhubung RUU terbabit.

“Penangguhan ini tidak bermaksud kita tidak buat libat urus sebelum ini, tetapi kebetulan dengan penangguhan ini, ia akan lebih ruang kepada kita untuk (lebih banyak lakukan) pencerahan dan penjelasan,” katanya.

Media pada Khamis melaporkan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 ditangguhkan ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab lisan persidangan pada hari sama.

RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada Julai lalu, antara lain mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.

RUU itu turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.-MyMetro Online