KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam ketika ini dalam proses memuktamadkan laporan sebelum ia diserahkan kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’m Mokhtar, berkata ia selepas melalui puluhan sesi mesyuarat termasuk libat urus dengan pelbagai pihak.
“Berkaitan dengan jawatankuasa yang dipengerusi oleh Tun Zaki Azmi, Alhamdulillah sebanyak 40 kali mesyuarat diadakan dan terakhir sekali pada 15 November lalu.
“Setakat hari ini, saya dimaklumkan oleh Tun Zaki, mereka dalam proses memuktamadkan laporan yang kemudiannya akan diserahkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Shah.
“Saya percaya Tun Zaki sudah mengambil kira pihak yang terbabit dan seperti mana yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berhubung status kajian kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam.
Jawatankuasa Khas itu bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang membabitkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam.
Ia termasuk mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain Tun Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara, jawatankuasa berkenaan turut dianggotai 10 individu lain.
Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.
Jawatankuasa khas itu turut meneliti alasan penghakiman yang dikemukakan bukan saja dalam kes Iki Putra Mubarak tetapi juga kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.-BH Online