Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NILAI, 7 Disember — Sebanyak 10,669 lokasi sampah haram telah dibasmi di tujuh negeri melalui 9,298 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan dari tahun 2014 hingga Oktober 2024, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Nga Kor Ming.

Menurut beliau, bagi tahun ini sahaja, sebanyak 2,634 tapak sampah haram berjaya ditutup oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dan 28 kes telah dibawa ke mahkamah berkaitan kesalahan pembuangan sampah haram mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Sepanjang tahun 2024, sejumlah 2,634 tapak lokasi sampah haram telah berjaya ditutup melibatkan anggaran kos pembersihan berjumlah RM412,000.00 dengan anggaran jumlah sisa yang dibersihkan sebanyak 1,500 tan. 

“Tambahan, dalam usaha membanteras dan menangkap pelaku sampah haram, Penguat Kuasa SWCorp telah melakukan sebanyak 4,134 kali intipan sepanjang tahun ini.

“Berdasarkan rekod ini, jelas KPKT memandang serius isu pembuangan sampah secara haram. Kami komited mempergiatkan operasi penguatkuasaan dengan kerjasama masyarakat tempatan, PBT, dan NGO bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membuang sampah di tempat yang betul,” ujar beliau dalam sidang media Program Sentuhan Kejayaan KPKT Pembasmian dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2024 Siri Ke-6 di Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam usaha meningkatkan pengurusan sisa binaan dan sisa lain, beliau turut mendedahkan bahawa sehingga 30 November tahun ini, sebanyak 904 lesen telah dikeluarkan kepada operator pembersihan berlesen.

Namun, penggunaan operator tidak berlesen masih menjadi pilihan kerana kos yang lebih rendah.

“Mungkin nampak jimat sekarang, tapi anda merosakkan alam sekitar dan mencipta masalah untuk masa depan. Maka, saya harap semua pengusaha yang terlibat sila lantik pengusaha berlesen untuk kerja-kerja pembersihan, bukan hanya nak jimat,” tegas beliau.-Berita RTM