KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) akan melaksanakan kajian mengenai kesan Aturan Kerja Anjal atau Fleksibel (AKF) bagi melihat impaknya kepada pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata kajian dalam tempoh enam bulan itu akan turut mengambil kira aspek produktiviti terhadap pekerja dan kesannya kepada majikan.
“Kita memang mempunyai laporan-laporan antarabangsa yang menyatakan produktiviti tidak terjejas tetapi untuk KESUMA, kita akan menjalankan kajian dalam dalam konteks persekitaran kerjaya dalam negara.
“Justeru dalam tempoh enam bulan ini, Talentcorp akan membuat kajian bagi melihat impak atau kesan pelaksanaan AKF di peringkat pihak yang melaksanakannya,” katanya selepas merasmikan majlis peluncuran Garis Panduan AKF di M Resort Hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi.
Steven berkata Talentcorp juga secara konsisten menyokong majikan dalam pelaksanaan AKF sejak 2015 dengan menyediakan panduan dan maklumat diperlukan selaras pindaan Akta Kerja 1955 yang dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2023.
Katanya, sehingga Oktober lalu, Talentcorp sudah mengadakan bengkel kepada 3,000 organisasi dengan membabitkan 565,210 pekerja yang menunjukkan potensi transformasi AKF.
“Menerusi bengkel itu, TalentCorp menyediakan panduan dan alatan yang diperlukan untuk membantu syarikat menyesuaikan dan melaksanakan AKF dalam organisasi mereka bagi memastikan majikan dan pekerja boleh mengadaptasi amalan AKF di syarikat mereka,” katanya.
Steven berkata, penganjuran bengkel akan diteruskan sebagai sebahagian usaha menggalakkan lebih ramai majikan dan jabatan sumber manusia (HR) mendapat gambaran sebenar mengenai AKF.
“Ramai majikan dan HR mahu melaksanakan AKF tetapi mereka tidak tahu bagaimana kaedah sesuai melakukannya.
“Jadi dengan peluncuran garis panduan ini ia satu kesinambungan kepada usaha kerajaan dan KESUMA untuk memperkasakan pekerja serta membantu majikan memgoptimumkan sumber manusia dan kos pengoperasian syarikat.
“Ia selaras dengan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 [Pindaan] 2022 di bawah seksyen 60P dan 60Q yang memberi hak kepada pekerja untuk memohon AKF bagi memenuhi keperluan semasa dan adaptasi teknologi,” katanya.
Steven berkata garis panduan yang dilancarkan itu bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan AKF kerana ia mengandungi semua elemen penting yang perlu diketahui oleh semua pihak khususnya pekerja dan juga majikan.
Katanya, ini termasuk takrifan AKF, kaedah melaksanakan AKF, tatacara permohonan oleh pekerja, tanggungjawab pekerja dan juga tanggungjawab majikan dalam proses pelaksanaan AKF.
“Selain penghasilan garis panduan ini, KESUMA melalui kerjasama strategik JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malavsia) dan TalentCorp akan terus memberikan bimbingan dan tunjuk ajar berhubung pelaksanaan AKF mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasar,” katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Betty Hassan turut menyampaikan butiran pelaksanaan AKF.
Menurutnya, JTKSM sudah menjalankan soal selidik pelaksanaan AKF yang dibuat secara dalam talian bermula 9 hingga 25 Oktober lalu.
Katanya, ia membabitkan 400 majikan swasta pelbagai sektor dengan 164 daripadanya memberi maklum balas terima, 78 syarikat melaksanakan AKF dan 66 syarikat terima permohonan pelaksanaan AKF.
“Daripada jumlah itu, seramai 11,272 pekerja diluluskan permohonan pelaksanaan kerja secara AKF dengan kebanyakannya memohon waktu kerja flesibel dan tempat kerja fleksibel.
“Selain itu, soal selidik mengenai kesesuaian AKF mendapati 56 peratus daripadanya mengatakan AKF wajar dilaksanakan manakala 44 peratus lagi tidak wajar,” katanya.-BH Online