SEOUL: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan berjaya memperoleh potensi pelaburan mencecah RM32.8 bilion daripada pelbagai bidang.
Anwar berkata, pertemuan dengan ‘chaebol’ dan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan berjaya menjana potensi pelaburan berimpak tinggi.
“Setakat ini potensi pelaburan yang berjaya dijana dari lawatan ini mencecah RM32.8 bilion dan eksport segera dari Malaysia mencecah RM1.3 bilion,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengakhiri lawatan selama tiga hari ke Korea Selatan hari ini selepas menerima jemputan Presiden, Yoon Suk Yeol.
Anwar berkata, lawatan rasminya sejak Ahad lalu turut mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara dan pertemuan bersama syarikat besar Korea Selatan juga membuka ruang serta peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia.
Setakat ini, kira-kira 400 syarikat Korea Selatan beroperasi di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang turut menyertai lawatan bersama Perdana Menteri berkata, potensi pelaburan yang berjaya dijana adalah daripada sektor kenderaan elektrik (EV), logam untuk aplikasi EV, biofarmaseutikal, teknologi hijau, pemerangkapan dan penyimpanan karbon serta hidrogen hijau.
“Buat masa ini, hanya Hyundai Motor saja membuat pengumuman rasmi selepas komitmen mereka berjaya diluluskan lembaga pengarah (Hyundai Motor),” katanya.
Hyundai Motor hari ini mengumumkan pelaburan AS$479 juta (kira-kira RM2.14 bilion) di Malaysia untuk lima tahun akan datang bermula 2025.
Hyundai Motor akan bekerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan untuk menaik taraf kilang pengeluarannya di Kulim.
Kilang yang dinaik taraf itu dijadual memulakan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) dan minivan Staria keluaran Hyundai menjelang pertengahan 2025, dengan rancangan untuk memperluaskan rangkaian termasuk SUV bersaiz sederhana hingga besar.
Hyundai Motor memaklumkan, skala pengeluaran akan bermula dengan 20,000 unit setahun dan rancangan pengembangan secara berperingkat.
Sementara itu, menjawab soalan berkaitan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapat plot dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu, Anwar secara berseloroh berkata:
“Saya juga ejen Kedah (dalam membawa pelaburan luar ke Kedah).
“Walaupun dia (Sanusi) kata begitu, tetapi saya masih sokong Hyundai untuk melabur (di Kulim). (Walaupun) ada beberapa tempat (pilihan) lain, tetapi kerana infrastruktur yang disediakan dan juga saluran eksport melalui pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Pulau Pinang, (maka) kita cadang di Kulim,” katanya.-BH Online