KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melancarkan Kit Duta Sahsiah sebagai panduan bagi memastikan pelajar dilantik dapat memainkan peranan sebagai ejen perubahan yang berupaya mempengaruhi rakan sebaya serta komuniti mengamalkan nilai positif dalam kehidupan seharian.
Dalam kit berkenaan, pelajar yang dilantik sebagai duta sahsiah dapat menggunakan poster, risalah dan kad aktiviti untuk mendekati komuniti secara kreatif dan berkesan.
Kit Duta Sahsiah itu adalah pelengkap bagi memantapkan lagi peranan dan fungsi duta sahsiah selepas KPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan inisiatif itu pada 31 Oktober tahun lalu.
Kit itu menjadi garis panduan yang menonjolkan satu komitmen bersama memperkasakan karekter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan pelajar dengan keperibadian berasaskan nilai murni dan sifat kemanusiaan yang luhur.
Ia mengandungi pelbagai modul latihan dan bahan rujukan meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang menjadi antara elemen penting dalam membentuk karekter karamah insaniah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang melancarkan kit itu berkata, program pendidikan sahsiah amat penting dalam membentuk individu yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik tetapi juga mempunyai akhlak yang mulia.
“Peluncuran Kit Duta Sahsiah adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk memperkasakan pelajar yang telah dilantik sebagai duta sahsiah, iaitu individu yang mempunyai teladan positif dan mempromosikan serta mengamalkan nilai murid seperti disiplin, integriti dan tanggungjawab bagi mempengaruhi rakan sebaya dalam komuniti mereka.
“Kit Duta Sahsiah disediakan dengan perancangan teliti. Tujuannya untuk menyokong duta sahsiah dalam mendidik, memotivasikan dan menggerakkan komuniti untuk bersama-sama memperjuangkan sahsiah dan keperibadian baik dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan.
“Ia selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu memupuk amalan dan tingkah laku positif dalam kalangan murid ke arah melahirkan insan yang seimbang, harmoni dan sejahtera,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad
Dalam usaha menerapkan nilai karamah insaniah, Fadhlina berkata, KPM bekerjasama dengan PDRM untuk menangani permasalahan disiplin dan salah laku murid.
Dengan pembabitan PDRM melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), beliau berkata, semua sekolah adalah satu intervensi dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan salah laku atau pelanggaran disiplin yang boleh membawa kepada kegiatan jenayah dan perlakuan menyalahi undang-undang.
“Pada zaman moden ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti krisis identiti, kesihatan mental, peningkatan penggunaan teknologi dan pelbagai isu sosial yang mempengaruhi nilai-nilai murni.
“Oleh itu, kita perlu memberikan penekanan yang lebih kepada karamah insaniah untuk membentuk generasi yang mampu menghadapi cabaran dengan integriti dan kejujuran serta dapat mengekalkan kesihatan mental,” katanya.-BH Online