Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RIO DE JANEIRO: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil selama empat hari berakhir hari ini berjaya mencatatkan potensi eksport RM6.8 bilion (AS$1.57 bilion) bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, sekali gus mencerminkan peluang perdagangan besar dalam sektor bernilai tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030.

Pencapaian ini dimeterai melalui Mesyuarat Meja Bulat anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama 58 pemimpin industri Brazil mewakili 28 syarikat terkemuka serta persatuan perniagaan negara itu.

MITI dalam kenyataan berkata, mesyuarat itu turut disertai 48 wakil dari 19 syarikat dan agensi Malaysia, merangkumi sektor seperti aeroangkasa, semikonduktor, peranti perubatan dan teknologi maklumat.

Lawatan itu turut diadakan sempena Persidangan G20 di Rio de Janeiro bermula semalam hingga esok yang mana kerjasama ekonomi dua hala antara Malaysia dan Brazil diberi penekanan, khususnya dalam industri semikonduktor yang menjadi fokus utama.

“Dua memorandum persefahaman (MoU) berkaitan industri semikonduktor sudah dimeterai membabitkan kerjasama antara MIMOS Bhd dan Institut Eldorado Brazil serta antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia dengan Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil,” kata kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri itu, katanya, menggariskan keperluan kerjasama dalam rekaan, pembuatan, dan pembangunan bakat dalam industri semikonduktor. 

“Langkah itu selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional Malaysia (NSS) yang bertujuan memperkukuh daya saing sektor elektronik negara.

“Hubungan perdagangan Malaysia-Brazil turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan, dengan peningkatan nilai dagangan dua hala sebanyak 19.8 peratus kepada RM14.83 bilion (AS$3.2 bilion) bagi tempoh Januari hingga September lalu berbanding RM12.38 bilion (AS$2.74 bilion) pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Tahun lalu, Brazil muncul sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin, dengan pelaburan bernilai RM8.64 bilion (AS$2.73 bilion) membabitkan sektor makanan, getah, pengangkutan dan hab pengedaran global.

Selain itu, syarikat Malaysia seperti PETRONAS, Yinson, dan Sapura turut memperkukuh kehadiran mereka di Brazil, dengan pelaburan dalam sektor tenaga serta minyak dan gas melebihi AS$15 bilion.

MITI optimis hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Brazil akan terus berkembang, memanfaatkan peluang yang ditawarkan melalui NIMP 2030 dan NSS.

“Kerjasama dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dijangka mampu memberi impak positif kepada ekonomi kedua-dua negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelabur dan perniagaan tempatan,” katanya,

Lawatan kerja itu menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan mengembangkan akses pasaran, sejajar dengan matlamat menjadikan negara ini sebagai hab pelaburan serantau.

Katanya, kerjasama itu mencerminkan visi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam sektor ekonomi baharu, sambil memanfaatkan hubungan diplomasi ekonomi.-BH Online