Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Individu yang mahu memberi maklumat berkenaan kes rasuah perlu melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk prosedur penilaian terlebih dahulu sebelum berhak mendapat perlindungan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, berkata ini kerana terdapat akta khas pemberi maklumat iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Katanya, menerusi akta berkenaan, jika sesiapa berasakan berlaku satu kesalahan, perlu maklumkan pada agensi yang bertanggungjawab. 

“Jika kes rasuah dia kena bagi maklumat pada SPRM dahulu kemudian agensi itu akan terima laporan, kemudian akan buat siasatan dan keputusan sama dia ini dilihat sebagai ‘qualify whistleblowers’ (pemberi maklumat layak) atau tidak.

“Itu prosedurnya. Kita tidak boleh apabila tahu maklumat kita tidak buat laporan pada agensi yang bertanggungjawab (tetapi) tiba-tiba buat kenyataan ‘nakkan perlindungan’. 

“Ini kerana dalam aspek pemberi maklumat selalunya orang tidak tahu siapa yang beri maklumat kita pada agensi sebab itu kita ada undang-undang memberikan mereka perlindungan. 

“Itu antara agensi dengan mereka yang beri maklumat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Kuala Lumpur On International Arbitration 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kula Segaran dan Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong.

Justeru Azalina berkata, beliau turut bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tidak akan memberi perlindungan kepada sesiapa yang terbabit dalam kes rasuah termasuk individu berkenaan yang mahu menjadi pemberi maklumat bagi pembongkaran kes rasuah. 

“Saya rasa kita kena tengok dari dua aspek, jika seseorang itu melakukan kesalahan memanglah Perdana Menteri cakap tiada perlindungan, itu betullah,” katanya. 

Selain itu beliau berkata, sebagai contoh dalam mahkamah pendakwa raya mahu mendakwa lima hingga enam orang dan mungkin salah seorang akan jadi saksi pendakwa. 

Katanya, perkara itu akan dibincangkan antara pendakwa dengan peguam dan kadang kala peguam akan membuat rundingan untuk kurangkan hukuman atau menjadi saksi pendakwa. 

“Tetapi jika anggap kerana bercakap dengan media dan hendak perlindungan pada saya itu SPRM yang tentukan kerana agensi itu pun mahu nilai maklumat yang mereka ada. 

“Perkara ini ada undang-undang dan rangka sedia ada. Kita kata nak bagi maklumat nak dapat perlindungan (tidak boleh) sebab penentu perlindungan (adalah) agensi yang dapat maklumat itu. 

“Rasuah (atau) tidak rasuah agensi yang bertanggungjawab. Jadi sesiapa nak bagi maklumat kena pergi pada agensi bertanggungjawab,” katanya. 

Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat bagi kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah, sudah berjumpa pegawainya pada 30 Oktober lalu.

Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.-BH Online