KANGAR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited memastikan keselamatan pekerja ketika berada di tempat kerja sentiasa terjamin, dalam usaha meningkatkan kebajikan serta kemahiran dan keberhasilan pekerja di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata kementeriannya menggerakkan lapan undang-undang perburuhan di negara ini bagi tujuan itu, antaranya berkaitan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan menguatkuasakan sepenuhnya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pada 1 Jun.
Katanya, undang-undang berkaitan itu antara lain membolehkan 1.5 juta pekerja di negara ini, mendapat tambahan 20 peratus dalam faedah PERKESO, manakala kira-kira 100 penambahbaikan di bawah akta keselamatan dan kesihatan dapat dilaksanakan, bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat.
“Saya nak setiap pekerja boleh pergi kerja pada pagi hari, pergi bekerja dalam keadaan terhormat, di tempat kerja yang bagus, sihat kemudian dapat gaji, faedah, manfaat bermaruah.
“Lepas setiap hari waktu kerja, boleh pulang ke rumah dengan selamat dan bersama dengan orang tersayang.
“Kita lakukan dalam tempoh 10 bulan ini untuk membolehkan pekerja kita mendapat penghargaan dan pengiktirafan lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada sesi lawatan kerja, serta melancarkan Program Veteran MyWIRA dan Program Pembangunan Bakat peringkat negeri Perlis di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar, di sini hari ini.
Veteran MyWIRA ialah program kesinambungan kerjaya yang dilancarkan pada 22 Januari lalu.
Ia hasil kerjasama antara KESUMA dengan Kementerian Pertahanan yang diterajui agensi masing-masing di bawah dua kementerian berkenaan iaitu TalentCorp dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), manakala Program Pembangunan Bakat dilaksanakan HRD Corp.
Steven berkata beliau akan membentangkan rang undang-undang berkaitan akta pekerja gig yang baharu pada Disember ini untuk memberikan perlindungan kepada mereka yang bekerja di bawah sektor berkenaan seperti pemandu e-panggilan atau p-panggilan.
“Mereka selama ini tidak mendapat pembelaan di bawah akta kerja sebab mereka tidak ditakrifkan sebagai pekerja. Maka kita akan wujudkan undang-undang baharu dan langkah ini selaras dengan negara-negara lain contohnya Singapura, Amerika Syarikat (dan) Australia.
“Satu langkah tatakelola baik, tadbir urus yang baik untuk memberikan hak kepada pekerja kita. Jadi itulah apa yang kita laksanakan dalam masa lapan hingga 10 bulan lepas. Semuanya untuk mewujudkan atau memberikan martabat, karamah insaniah kepada warga pekerja kita,” katanya.
Dalam pada itu, Steven meminta warga KESUMA di Perlis turun ke lapangan mendekati pekerja, bagi mendengar serta melihat sendiri apa permasalahan dihadapi mereka, sekali gus sedaya upaya membantu pekerja menyelesaikan masalah berkenaan.- BERNAMA