Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tuntutan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) supaya kuota subsidi diesel ditambah kepada 10,000 liter sebulan berbanding 6,000 liter sebelum ini, dilihat sebagai munasabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia sejajar keperluan penggunaan setiap bas adalah 10,000 liter sebulan.

Jika kuota tidak ditambah, katanya, ada kemungkinan tambang dinaikkan dan bebannya ditanggung pengguna.

“Ini bukan hanya untuk kepentingan bas ekspres tetapi turut memberi manfaat kepada orang awam.

“Kepentingan awam harus diutamakan kerana kita menyantuni lebih 50 juta penumpang setiap tahun. 

“Jika kuota tidak ditambah, ia akan menyebabkan peningkatan kadar tambang. 

“Saya sarankan PEMBAWA memasukkan resolusi dalam mesyuarat agung kali ini bagi memohon kerajaan meningkatkan jumlah kuota tahun ini dari 6,000 liter kepada 10,000 liter setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PEMBAWA, hari ini.

Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam Dewan Rakyat memaklumkan kuota subsidi diesel RM1.88 seliter bagi bas ekspres ditingkatkan kepada 6,000 liter sebulan berbanding 2,880 liter sebelum ini. 

Katanya, peningkatan itu dapat membantu pengusaha bas ekspres mengawal kos terutama bahan api dan pengoperasian. 

Bagaimanapun, Yang Dipertua PEMBAWA, Laili Ismail, menyifatkan jumlah itu tidak mencukupi kerana penggunaan diesel bagi bas ekspres melebihi kuota diberi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meminta PEMBAWA dan pengusaha syarikat bas ekspres bersedia menerima perubahan, terutama ketika saranan kerajaan menggunakan bas elektrik atau EV pada masa depan.

“Walaupun kos permulaannya akan bertambah, kos menyelenggara untuk jangka masa panjang berkurang.

“Saya tahu cadangan ini tidak disukai tetapi langkah ini adalah yang terbaik dan diharap MARA Liner dapat memulakannya supaya kita dapat melihat (pengurangan) kos berkenaan,” katanya.-BH Online