Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jumlah banduan yang ditempatkan di penjara di seluruh negara kini mencecah 87,000 orang iaitu melebihi kapasiti maksimum 74,000 orang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, usaha rentas agensi dan kementerian serta komuniti perlu dilakukan bagi mengelak dan mengatasi permasalahan yang lebih rumit di penjara waktu ini.

“Jabatan Penjara yang turut terbabit dalam menyelesaikan masalah sosial ini, kini penjara sudah disesakkan dengan 87,000 banduan, berbanding dengan maksimum kemuatan penjara hanya 74,000 orang. 

“Insya-Allah kita akan membantu Jabatan Penjara menyelesaikan masalah (lebih muatan) dengan beberapa pendekatan proaktif yang dibentang dalam mesyuarat (Majlis Sosial Negara (MSN),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat MSN yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak pernah berpeluk tubuh atau memandang enteng terhadap permasalahan sosial yang berlaku di negara ini. 

“Saya baru saja selesai mempengerusikan mesyuarat MSN dan seperti sebelumnya kami sentiasa mencari penyelesaian serta membuat keputusan dasar mengenai hala tuju pembangunan sosial negara sambil menilai program dan strategi yang sedang dilaksanakan.

“Isu yang kami bincangkan tidak terhenti dalam permasalahan sosial yang saya sebutkan di dalam ucapan ini, tetapi ia melangkaui permasalahan lain seperti pengurusan banduan rentan.

“…jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian, dasar perbankan buat OKU, pengurusan pelarian dalam negara dan keciciran murid sekolah menengah yang semakin merisaukan,” katanya.

Beliau berkata, biarpun Dasar Sosial Negara dilancarkan semalam akan menjadi asas yang mendasari segala usaha kerajaan, apa yang jauh lebih penting lagi adalah membudayakan gaya hidup yang harmoni dan toleransi antara semua masyarakat.

“Seperti membesarkan seorang anak kecil dikalangan kita menjadi tanggungjawab kita untuk saling membimbing dan menegur secara berhemah kerana akhirnya kita dapat membina sebuah komuniti yang penuh kasih sayang.

“Marilah kita bersama-sama membentuk identiti masyarakat Malaysia yang dihormati, berintegriti dan berdaya tahan – demi mencipta masa depan yang lebih sejahtera untuk semua,” katanya.

DSN 2030 menetapkan sasaran untuk negara berada di kedudukan ke-25 dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah, selain meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh ke 60 peratus.-BH Online