Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih memerlukan masa untuk meneliti beberapa isu tatakelola dalam pemberian tender membabitkan projek 1BestariNet sebelum memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pihak lain.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memanggil mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri itu bagi menyiasat kes berkenaan.

Katanya, setakat ini pegawai penyiasat sedang meneliti secara rambang mengenai pembekalan data yang diberikan oleh syarikat terbabit kepada pihak sekolah.

“Beliau (Muhyiddin) akan dipanggil dengan mana-mana pihak lain, tetapi pada masa ini belum sampai masanya lagi. 

“Ini kerana kita perlu mengkaji dengan teliti. Dalam kes 1BestariNet ini, saya ulang kita bukan saja perlu melihat dari segi isu jenayah di sini, tetapi juga pelbagai isu berkaitan tatakelola dalam pemberian tender berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya pada sidang sedia selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Antara SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. 

Pada 9 Oktober lalu, media melaporkan SPRM sedang mempertimbangkan untuk memanggil bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi membantu siasatan kes 1BestariNet.

Difahamkan, nama Mahdzir termasuk dalam senarai penyiasat, selain Muhyiddin yang juga bekas Menteri Pendidikan.

SPRM sebelum ini memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.

Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE).

Kementerian Pendidikan menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G) bagi pelaksanaan projek itu.-BH Online