Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Belanjawan 2025 akan mengimbangi antara mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan segmen masyarakat yang paling mudah terjejas, terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan orang kurang upaya, yang diberi perhatian dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami cabaran yang perlu dihadapi rakyat setiap hari, antaranya harga makanan dan perbelanjaan yang tinggi, perumahan yang tidak mencukupi dan akses kepada penjagaan kesihatan.

Usaha menaikkan taraf hidup rakyat akan menjadi fokus belanjawan yang akan diberi tumpuan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam membentangkan pelan tindakan kewangan negara untuk tahun depan pada Jumaat ini pada 4 petang di Dewan Rakyat.

Berdasarkan sikap beliau yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat, belanjawan kali ini dijangkakan menyediakan sesuatu untuk semua golongan, termasuk petani, nelayan, pekebun kecil, pekerja yang dibayar gaji secara harian, golongan muda yang mencari pekerjaan serta suri rumah dan pekerja gig.

Apa yang pasti tiada keluarga dan individu yang masih bergelut dari segi ekonomi di sebalik pelbagai inisiatif disediakan dalam Belanjawan 2024 untuk membantu mereka, yang sudah tentu diambil kira oleh Perdana Menteri dalam merangka belanjawan kali ini.

Oleh itu, jangkaan adalah tinggi untuk isu ini dapat ditangani kemungkinan dengan peruntukan yang lebih tinggi dalam belanjawan tersebut berdasarkan kenyataan Anwar bahawa ia akan memudahkan pengagihan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama dalam kalangan penduduk dan memperkenalkan langkah-langkah untuk menaikkan gaji.

Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” melibatkan peruntukan sebanyak RM393.8 bilion, dengan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, dengan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dalam ulasan prabelanjawan 2025 baru-baru ini, belanjawan itu bertujuan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan langkah-langkah bersasar untuk menyokong sektor isi rumah, perniagaan dan ekonomi utama selain mengekalkan disiplin fiskal.

“Belanjawan itu juga dijangka menangani cabaran mendesak seperti tekanan kos sara hidup, gaji tidak meningkat dan peralihan hijau,” kata MIER.

Bagi cukai, Anwar berkata kerajaan hanya akan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya ambang gaji minimum sebanyak RM3,000-RM4,000.

Pada masa ini, gaji bulanan minimum di Malaysia adalah pada RM1,500. Oleh itu, diyakini GST tidak akan dikenakan.

Penasihat Ekonomi KSI Strategic Institute for Asia Pacific Anthony Dass berkata kerajaan dijangka mengkaji langkah untuk meluaskan asas cukai.

“Pada 2025, kami percaya kerajaan akan memperkenalkan atau melaksanakan cukai gula, cukai barang bernilai tinggi (HVGT) dan cukai Peraturan Anti-Hakisan Global (GloBE),” katanya menerusi nota baru-baru ini.

Dass menjelaskan cukai gula dijangka meningkat berikutan cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan cukai ke atas minuman bergula kepada 20 peratus daripada harga runcit sebagai sebahagian daripada kempen Perangi Gula.

Beliau berkata HVGT dijangka diperkenalkan semula selepas ditangguhkan pelaksanaannya.

Dass berkata kerajaan juga mungkin meluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk meningkatkan hasil. 

Pada masa ini, SST hanya meliputi 41 peratus barangan dan perkhidmatan manakala GST sebelum ini meliputi 76 peratus.

Spekulasi juga meluas bahawa cukai warisan akan diperkenalkan tetapi Menteri Pengangkutan Anthony Loke menolak dakwaan mengenai kemungkinan pengenalan cukai tersebut.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap hartanah kediaman akan dikecualikan daripada cukai warisan sekiranya ia diperkenalkan pada masa depan.

Terdapat juga jangkaan yang tinggi terhadap rasionalisasi RON95 selepas rasionalisasi subsidi diesel pada Jun 2024 yang menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan.

Bagaimanapun, kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa ekonomi yang lebih kukuh dan pengukuhan ringgit telah memberikan banyak fleksibiliti kepada kerajaan untuk mencapai sasaran konsolidasi fiskal, bermakna pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 mungkin akan ditangguhkan.

Pada skala makro, kerajaan dijangka akan kekal kukuh dalam mencapai sasaran konsolidasi fiskal secara berperingkat dengan mengurangkan hutang negara, selain terus melabur dalam meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, Anwar berkata walaupun kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara, ia akan terus melabur dalam bidang seperti pendidikan, kesihatan awam dan infrastruktur untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.

Hutang negara kini berada pada 64 peratus daripada KDNK, dengan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan angka ini kepada sekurang-kurangnya 60 peratus secara berperingkat.

Sebelum ini, Anwar berkata defisit fiskal telah diturunkan kepada 5.0 peratus daripada KDNK pada 2023 daripada 5.6 peratus pada 2022, dengan unjuran penurunan seterusnya kepada 4.3 peratus pada tahun ini.-Harian Metro Online