KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan semua kes tertunggak bagi permohonan mendapatkan kewarganegaraan dalam tempoh 12 bulan bermula hari ini.
Berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi membolehkan tidak ada lagi baki kes pemohon tertunggak terus dibiarkan bertangguh bertahun-tahun.
“Komitmen baru terhadap baki kes (permohonan warganegara), dibuat keputusan hari ini, iaitu 17 Oktober, dari sekarang sehingga tahun depan, kita akan selesaikan semua permohonan ini sebagai menandakan komitmen kita.
“Semua permohonan tertunggak, yang belum dibuat keputusan, 17 Oktober tahun depan semua akan dibuat keputusan,” katanya.
Saifuddin berkata KDN juga sudah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan teratur dalam menguruskan permohonan kewargageraaan termasuk pemohon dapat mengetahui status semasa permohonan mereka.-BH Online