Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,617 kenderaan elektrik bateri (BEV) dijual dalam separuh pertama 2024, mencatatkan peningkatan ketara 112 peratus berbanding 3,117 unit yang dijual pada tempoh sama tahun 2023.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata angka ini menepati sasaran untuk mencapai 20 peratus daripada jumlah jualan industri (TIV) yang terdiri daripada kenderaan elektrik menjelang tahun 2030.

“Pertumbuhan ini bukan sahaja menandakan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna, tetapi juga menunjukkan kesediaan rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada agenda alam sekitar negara dan global.

“Lebih daripada 3,171 stesen pengecasan telah dipasang di seluruh negara setakat 30 September 2024, di mana 813 daripadanya adalah pengecas pantas arus terus (DC),” katanya semasa pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) Leapmotor C10 di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, beliau berharap untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecasan menjelang akhir 2025.

“Selain itu, setakat separuh pertama 2024, Malaysia kini mempunyai lebih daripada 31,447 kenderaan BEV di jalan raya.

“Hari ini, industri automotif kekal sebagai tiang penting bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia, menyumbang kira-kira empat hingga lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun dan menyokong lebih daripada 700,000 pekerjaan,” katanya. 

Beliau berkata, pada 2023, sektor automotif Malaysia mencatatkan jumlah nilai import sebanyak RM62.14 bilion, dengan RM37.15 bilion daripada jumlah itu adalah untuk import bahagian dan komponen automotif.

“Dari segi eksport, sektor ini mencatatkan jumlah nilai RM18.01 bilion, di mana RM13.26 bilion disumbangkan oleh eksport bahagian automotif. 

“Ketidakseimbangan ketara antara import dan eksport ini telah menyebabkan defisit perdagangan bagi sektor ini,” katanya. 

Beliau berkata, apabila Stellantis mengumumkan keputusannya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau, ia akan memberikan lonjakan besar kepada industri automotif, memudahkan pemindahan teknologi canggih dan menyumbang kepada peningkatan eksport negara.-BH Online