KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menerusi Kementerian Luar akan berhubung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan perkembangan terkini penugasan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan susulan ketegangan serangan antara Israel dan negara itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembabitan pasukan MALBATT 850-11 di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) adalah di bawah panji-panji dan mandat PBB.
“MINDEF akan melalui saluran yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman Malaysia berada dalam keadaan baik dan bertugas selari dengan mandat yang diperuntukkan.
“MINDEF akan terus memantau perkembangan terkini di Lubnan dan tindakan seterusnya akan diputuskan oleh kerajaan selepas berbincang dengan UNIFIL dan PBB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa hari lalu lima anggota pasukan pengaman UNIFIL cedera ketika Israel melakukan serangan terhadap Hizbullah ke selatan Lubnan.
Susulan dari itu, UNIFIL mendakwa tentera Israel secara sengaja melepaskan tembakan ke arah kedudukannya.
UNIFIL membabitkan kira-kira 9,500 pegawai dan anggota tentera dari sekitar 50 negara yang ditugaskan untuk memantau gencatan senjata yang mengakhiri perang selama 33 hari pada 2006 antara Israel dan Hizbullah.
Mohamed Khaled berkata tugas dan tanggungjawab pasukan MALBATT 850-11 adalah tertakluk kepada protokol dan peraturan yang ditetapkan oleh UNIFIL.
“MINDEF akan mematuhi segala ketetapan dan keputusan yang diputuskan oleh UNIFIL dan PBB tentang peranan UNIFIL selanjutnya di Lubnan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled turut mendesak Israel untuk menghormati mandat yang diperuntukkan oleh PBB kepada pasukan pengaman.
“Israel mesti menghormati mandat tersebut dan tidak mengheret UNIFIL ke kancah konflik Israel-Hezbollah.
“Serangan ke atas anggota UNIFIL adalah serangan terhadap PBB dan masyarakat dunia dan ia adalah perbuatan yang melanggar segala norma undang-undang antarabangsa dan sangat tidak bertamadun,” katanya.
Pada sidang kemuncak PBB Jumaat lalu, pemimpin Perancis, Itali dan Sepanyol berkat, serangan ke atas pasukan pengaman UNIFIL melanggar Resolusi 1701 dan mesti ditamatkan.
Sepanjang minggu lalu juga, pasukan UNIFIL berulang kali diserang di bandar Naqura, Lubnan yang menempatkan ibu pejabatnya serta beberapa lokasi lain kawasan penugasan pasukan pengaman.-BH Online