Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kawasan Jalan Masjid India disahkan selamat untuk semua bentuk aktiviti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Ketetapan itu, katanya, dibuat selepas mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif pelbagai agensi serta pertubuhan profesional seperti Institusi Jurutera dan Pertubuhan Geoteknikal.

Beliau berkata, beberapa tindakan segera jangka pendek juga sudah dilaksanakan, antaranya Audit Integriti Aset Utiliti oleh syarikat utiliti di kawasan ‘Central Business District’, termasuk Jalan Masjid India.

“Pemetaan dan ujian integriti bawah tanah dibuat bagi mengesan kelemahan pada aset lama serta penggunaan teknologi seperti kaedah ‘Ground Penetrating Radar’ (GPR) dan ‘Mackintosh Probe’ digunakan untuk menyiasat struktur tanah.

“Ujian geofizik seperti ‘Micro Gravity’ dan ‘Ground Settlement Monitoring’ turut digunakan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah atau lohong bawah tanah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu), Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berkaitan insiden lubang benam di Jalan Masjid India di sini.

Dr Zaliha berkata, bagi tindakan jangka panjang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam, membabitkan penggunaan teknik ‘Deep Boring’ serta ujian makmal untuk memastikan struktur tanah stabil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, laporan geoteknikal untuk kawasan dikenal pasti berisiko akan disediakan jurutera bertauliah.

“Mengenai komunikasi awam, DBKL akan terus menggunakan platform media sosial untuk memberi makluman dan keyakinan kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan di kawasan Jalan Masjid India,” katanya.

Mengenai pampasan kepada waris mendiang G Vijaya Lakshmi, beliau berkata, kerajaan melalui DBKL sudah menyumbangkan RM30,000 untuk membantu keluarga mangsa dalam meringankan beban mereka akibat tragedi terbabit.

Selain itu, katanya, waris juga menerima sumbangan bernilai RM10,000 daripada pihak swasta yang bersimpati dengan ia adalah tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga mangsa yang trauma atas kehilangan individu tersayang.

Dr Zaliha juga menegaskan kerajaan tidak menghalang sekiranya keluarga mendiang mahu mengemukakan tuntutan melalui saluran perundangan terhadap agensi berkaitan.

“Saya memohon Yang Berhormat tidak sekadar melihat jumlah sumbangan RM30,000 daripada DBKL sahaja sebagai nilai nyawa mendiang. Ketika kejadian berlaku, Kerajaan Malaysia sudah mengerahkan seluruh kekuatan anggota dan aset ke kawasan insiden.

“Dalam tempoh sembilan hari pencarian, sejumlah besar peruntukan juga digunakan bagi tujuan kos harian operasi. Jangan lupa, anggota yang turut bergadai nyawa memasuki ruangan sempit dan berbahaya.

“Terdapat aset bernilai puluhan juta mengalami kerosakan. Malah, kos pembaikan terpaksa ditanggung kerajaan akibat kerja pengorekan dan pemecahan struktur bagi operasi mencari juga adalah suatu amaun yang signifikan.

“Semua kos dan pengorbanan ini adalah bukti Kerajaan Malaysia tidak mengambil mudah soal nyawa insan, sama ada warga tempatan mahupun pelancong asing,” katanya.-BH Online