KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM10.2 bilion di Pahang, mengatasi sasaran RM5.7 bilion untuk tahun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, ECERDC berkata 80 peratus daripada pelaburan itu disumbangkan oleh sektor pembuatan, diikuti oleh minyak dan gas serta hartanah sekali gus menjana 3,342 peluang pekerjaan dan membuka 158 prospek keusahawanan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata negeri itu komited dalam meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur dan ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudah cara pelaburan baharu untuk memastikan pelaburan dapat direalisasikan.
“Kami sedang melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk mempercepatkan proses pelaburan sekali gus memacu pertumbuhan industri yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga berkata, projek bekalan air antara negeri sepanjang 29 kilometer dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang, akan memastikan sumber air yang boleh dipercayai untuk pertumbuhan industri, menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan operasi perniagaan di taman perindustrian Gebeng.
null
“Tambahan pula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi pada 2027 dijangka meningkatkan kesalinghubungan, menjadikan Gebeng sebagai hab perindustrian yang bersedia untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, menekankan komitmen ECERDC untuk memperkukuh program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran teknikal yang selaras dengan keperluan industri.
Inisiatif-inisiatif itu penting untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan, sekali gus memenuhi keperluan pelabur-pelabur berpotensi yang mencari tenaga kerja yang mahir dan pantas menyesuaikan diri, kata beliau.
“Kami percaya usaha memperkasakan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran dan pengetahuan yang tepat, Pahang akan menjadi destinasi yang lebih menarik untuk pelabur terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.
“Tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan kemahiran semula akan menyumbang kepada daya tahan ekonomi jangka panjang rantau ini dan memastikan Pahang kekal berdaya saing pada skala global,” tambahnya.
Menurut ECERDC, beberapa projek infrastruktur utama dan projek perindustrian sedang dijalankan.
Ini termasuk kerja-kerja tanah dan peningkatan infrastruktur Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China Fasa 3, yang dijadualkan siap menjelang 10 Julai 2025. Projek itu berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion menjelang 2027.
Selain itu, projek menaik taraf Bandar Diraja Pekan termasuk pemulihan bangunan lama dan kawasan sekitarnya dijadualkan siap pada 14 November 2024.
Inisiatif itu dijangka meningkatkan aktiviti pelancongan dengan bilangan pengunjung ke Pekan dijangka mencapai sehingga 400,000 orang menjelang 2025.
ECERDC juga sedang menaik taraf Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) di Cherating, Pahang, yang dijangka siap pada April 2025 dan menyasarkan 120,000 pengunjung ke kompleks itu tahun depan, tambahnya.-BERNAMA