Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Semua pihak perlu sentiasa menghormati dan memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam aspek ketetapan hukum hakam dan nilai fitrah insan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata penganjuran sebarang acara yang boleh mencetuskan polemik dan menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan.null

Susulan itu, katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan Kerajaan Johor yang meminta siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti individu terbabit dalam larian antarabangsa di Kota Tinggi yang disertai peserta berpakaian tidak senonoh dan berunsur lucah.

“Semua pihak perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat isu ini dan perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, menerusi Facebook penduduk Kota Tinggi, tular video segelintir peserta larian itu yang berpakaian tidak senonoh dan berunsur lucah.

Perkongsian di Facebook itu turut memaparkan beberapa foto dan sebuah klip video sekumpulan individu berpakaian berwarna merah serta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan program larian itu disertai pelancong asing berpakaian kurang sopan dan mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT) bukan anjuran kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri itu.

Mohd Na’im berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Onn Hafiz berkaitan perkara itu semalam yang jelas menyatakan acara larian itu tidak dianjurkan Kerajaan Johor mahupun mana-mana agensi kerajaan negeri.-BH ONLINE