Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah dan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan untuk meningkatkan akses kepada rawatan kanser berkualiti di seluruh negara.

Perkembangan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini, kira-kira sebulan selepas BH melaporkan isu kekurangan fasiliti kesihatan khusus bagi merawat kanser.

Terdahulu, laporan oleh BH pada awal bulan lalu mendedahkan, isu terbabit menyebabkan ada pesakit terpaksa menempuh perjalanan sehingga 300 kilometer (km), selain dibelenggu beban kewangan membiayai kos pengangkutan.

Fadillah ketika berucap merasmikan Karnival Pink Oktober 2024 di Institut Kanser Negara (IKN), di sini hari ini, berkata dua pusat kanser terbaharu itu adalah satu langkah ke hadapan dalam memastikan rawatan kanser berkualiti dapat diakses rakyat di seluruh negara tanpa mengira lokasi geografi.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti. 

“Kerajaan sedar akan beban yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga. Oleh itu kerajaan akan terus memperuntukkan sumber bagi meningkatkan penyelidikan, kemudahan rawatan serta program pencegahan kanser,” katanya.

Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE) sebelum ini mendedahkan ada keluarga pesakit kanser dari negeri yang jauh dari pusat rawatan kanser terpaksa menyewa kenderaan untuk ke Lembah Klang.

Ada juga memilih perubatan alternatif seperti rawatan tradisional yang boleh memberi kesan buruk kepada pesakit, manakala peratusan untuk sembuh dikhuatiri menjadi lebih rendah kerana lambat mendapatkan rawatan.

Menurut CAKNE, tiada pusat rawatan kanser untuk kumpulan pesakit berusia 19 tahun dan ke bawah di Melaka, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah.

Kemudahan itu hanya ada di Lembah Klang; Pulau Pinang; Ipoh, Perak; Johor Bahru, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kuching, Sarawak dan di Likas, Sabah.

Di Lembah Klang, ada tiga hospital kanser kanak-kanak, namun tiada di beberapa negeri lain seperti Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan, menyebabkan pesakit dari negeri tanpa kemudahan itu terpaksa menempuh perjalanan ratusan kilometer untuk ke Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, IKN bukan sahaja memberi rawatan perubatan yang berkualiti tinggi, malah sokongan emosi, fizikal dan psikososial kepada pesakit serta keluarga mereka.

“Ia pastinya satu usaha murni yang telah memberi impak positif dalam meningkatkan kualiti hidup pejuang kanser.

“Semua lapisan masyarakat, terutamanya swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) diminta terus bekerjasama dengan kerajaan menyokong usaha pencegahan dan rawatan kanser. 

“Sokongan secara menyeluruh ini akan memastikan kita dapat membina masyarakat yang lebih sihat dan peka terhadap kesihatan mereka,” katanya.

Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes kanser yang dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat 64.1 peratus antara 2017 hingga 2021 berbanding 63.7 peratus antara 2012 hingga 2016.

Perkembangan itu dilihat membimbangkan kerana kadar kelangsungan hidup menjadi lebih rendah jika kanser dikesan lewat.

Peningkatan itu secara tidak langsung menyaksikan Malaysia kini berdepan dengan beban kanser yang sangat besar. Ia disifatkan penyakit kronik yang menjadi penyebab ketiga kematian dengan 15,200 kes pada 2022.

Dari 2017 hingga 2021, 10 jenis kanser paling kerap dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia, disenaraikan mengikut keutamaan adalah kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma, kanser hati, kanser prostat, leukemia, kanser nasopharynx, kanser rahim dan kanser ovari.-BH Online