KUALA LUMPUR: Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dijangka siap dibina sepenuhnya pada Oktober 2026, akan menjadi Pusat Kefungsian Forensik pertama di Asia Tenggara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pembinaan IPFN yang diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) membabitkan keluasan tapak projek seluas kira-kira 1.2 hektar bersebelahan Jalan Tun Razak, di sini.nullnull
Katanya, IPFN bakal menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan forensik seperti Forensik Patologi, Forensik Klinikal, Forensik Odontologi, Forensik Radiologi, Makmal Forensik Bersepadu, bank tisu dan tulang serta pejabat bagi Pusat Penyelidikan Transplan Nasional (NTRC).
“Projek pembinaan IPFN dimulakan pada 12 Oktober 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada 6 Oktober 2026.
“Apabila siap kelak, ia boleh menampung sehingga 200 mayat pada satu-satu masa. Sehingga September lalu, kemajuan fizikal di tapak adalah 21.62 peratus,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat dan lawatan ke Tapak Projek IPFN di sini, hari ini.
Ahmad berkata, projek berkenaan dibina oleh syarikat Gadang Engineering Sdn Bhd dengan kos RM189 juta menggunakan kaedah reka dan bina.
“Pelaksanaan menggunakan sepenuhnya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menerusi teknologi Sistem Bangunan Industri (IBS) bagi pembinaan blok utama IPFN yang mencapai skor sebanyak 78.1 peratus.
“Perancangan dan pengurusan kerja pembinaan menggunakan aplikasi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi memudahkan penyelarasan kerja antara disiplin, termasuk penyelenggaraan pada masa hadapan,” katanya.
Katanya, projek berkenaan mendapat pengiktirafan lima bintang pada 2024 bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC) dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Reka bentuk solar panel di bumbung bangunan adalah keistimewaan skop pembinaan bangunan kerana ia julung kalinya dibina bagi projek di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
“Panel solar yang akan dibina membabitkan 30 peratus keluasan bumbung projek dan dijangka menjana penggunaan elektrik sebanyak 316 kW dan mampu menjimatkan elektrik sehingga RM99,250 setahun kepada pihak KKM,” katanya.
Ahmad berkata, ia selaras aspirasi kerajaan dalam penggunaan tenaga boleh guna semula dan menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bebas karbon pada 2050.
“Projek itu mempunyai empat skop kerja iaitu membina sebuah blok IPFN empat tingkat, sebuah blok bangunan Stor Bersepadu Bahan Kimia (CIS) dua tingkat, sebuah blok bangunan M&E serta Stor Sisa Bahan Kimia setinggi tiga tingkat dan membina bangunan sokongan serta kerja-kerja infra,” katanya.-BH Online