Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dengan Singapura dijangka akan dimeterai pada 8 Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

“Ia adalah hasil kerja keras pelbagai kementerian serta agensi di peringkat pusat dan negeri serta rakan sejawat di Singapura.

“Di samping mesyuarat yang dilaksanakan melalui pembentukan kumpulan-kumpulan kerja, kandungan perjanjian itu diperincikan lagi dalam Bengkel Perundingan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Singapura Bagi Pembangunan JS-SEZ yang diadakan pada 28 hingga 30 Ogos lalu,” kata Onn Hafiz (BN-Machap).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Onn Hafiz menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (PH-Kukup) berkaitan tarikh perjanjian JS-SEZ akan dimeterai oleh pihak kerajaan Malaysia dan Singapura serta adakah kerajaan negeri sudah benar-benar bersedia dan membuat persiapan bagi menghadapi kesan apabila dilaksanakan nanti.

Onn Hafiz berkata, walaupun inisiatif besar itu adalah satu langkah strategik yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi Johor, kerajaan negeri tidak pernah sekali-kali menafikan apatah lagi mengambil lewa terhadap cabaran yang dibawanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Pusat sedang dan akan mengambil langkah menangani cabaran seperti persaingan tenaga kerja dan peningkatan kos hidup.

“Cabaran terbesar yang dihadapi dengan peluang pekerjaan di JS-SEZ bakal menarik minat ramai, termasuk dari luar Johor. Jika tiada penawaran tenaga kerja dari kalangan warga tempatan boleh mengundang kepada permintaan tenaga mahir dari luar negara.

“Kedua, peningkatan kos hidup. JS-SEZ dijangka membawa peningkatan dalam nilai hartanah serta kos sara hidup di kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata, ia memberi cabaran kepada rakyat tempatan terutama golongan B40 dan M40 yang mungkin berhadapan kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi pesat.

“Ketiga, risiko ketidakseimbangan pembangunan. Tumpuan pembangunan yang intensif di kawasan JS-SEZ juga berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar atau yang tidak termasuk dalam zon ekonomi ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah dalam berdepan cabaran berkenaan dan pada masa yang sama mengoptimumkan manfaat diperoleh daripada perjanjian JS-SEZ.

Katanya, antara tindakan yang sudah dan sedang dilaksanakan ialah membangunkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing selain melancarkan beberapa inisiatif seperti program latihan kemahiran, peningkatan kapasiti teknikal serta kolaborasi dengan institusi pendidikan dan industri.

“Ia termasuk menyediakan peluang perumahan mampu milik bagi menangani isu peningkatan kos hartanah. Kerajaan negeri merangka dasar yang bertujuan meningkatkan kuantiti projek perumahan mampu milik untuk rakyat Johor terutamanya di kawasan JS-SEZ.

“Ia juga mampu memastikan pembangunan seimbang dan inklusif. Kerajaan negeri beriltizam memastikan bahawa pembangunan yang berlaku di JS-SEZ dan kita akan luaskan ke daerah lain,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasa usahawan tempatan sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi lebih agresif dan dinamik juga diberi tumpuan.

Kerajaan negeri, katanya, juga akan memberikan insentif dan sokongan kepada usahawan tempatan untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Kita juga melindungi identiti dan budaya tempatan, kerajaan negeri akan memastikan bahawa nilai dan budaya Bangsa Johor terus dipelihara,” katanya.-BH Online