Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan kedudukan fiskal negara dan kerangka Ekonomi MADANI telah meyakinkan pelabur asing dan tempatan untuk terus melabur di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerangka Ekonomi MADANI yang mantap dan hala tuju dasar-dasar yang jelas menjadikan Malaysia antara hanya beberapa negara di dunia yang ekonominya berkembang dengan baik, terutamanya dalam ketidaktentuan ekonomi global.

“Alhamdulillah, ringgit juga telah mengukuh 12 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam suku ketiga tahun ini.

“Kombinasi pertumbuhan eksport dan pelaburan juga telah menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus bagi suku kedua tahun ini berbanding 4.2 peratus pada tempoh yang sama 2023.

“Namun, yang paling penting adalah bagi kami untuk memastikan agar manfaat pertumbuhan KDNK dan eksport ini dirasai oleh rakyat dan sektor perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka MITI di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong.Tengku Zafrul berkata, di bawah Ekonomi MADANI, MITI komited memastikan pelaksanaan semua dasar dan inisiatif akan menyediakan peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi untuk rakyat Malaysia dan pelbagai peluang perniagaan untuk PKS.

“Yang paling penting adalah limpahan ekonomi kepada rakyat, perniagaan dan PKS. Contohnya, melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), antara sasaran utama adalah untuk menarik pelaburan sebanyak RM500 bilion ke dalam sektor ini menjelang 2030,” katanya.

Pada sidang media acara sama, beliau menjelaskan, prestasi perdagangan tahun ini dijangka melepasi sasaran yang telah ditetapkan.

“Kita yakin dapat melepasi sasaran dan ia terbukti menerusi pencapaian separuh pertama 2024 meningkat 18 peratus dan lapan bulan pertama 11 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai Hari Terbuka MITI, Tengku Zafrul berkata, acara berkenaan membolehkan syarikat tempatan termasuk PKS memahami apa yang boleh dilaksanakan untuk mengembangkan operasi mereka.

“Menerusi hari terbuka ini, mereka dapat memahami peranan MITI dan agensi di bawah kementerian. Perniagaan perlu ada akses kepada negara luar.

“Kita mengharapkan PKS kita dapat memanfaat pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk berkembang ke peringkat global,” katanya.

Hari Terbuka MITI menyaksikan lebih 22 syarikat berjenama tempatan dan antarabangsa termasuk Sharp, Pensonic, DSX Technology, Nestle, Panasonic dan Farm Fresh.Beliau berkata, Hari Terbuka MITI memberi tumpuan kepada lima elemen utama iaitu Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Industri, Peluang Pekerjaan dan Seranta (Outreach). 

“Ini selaras dengan hala tuju MITI untuk kekal komited dalam menarik pelaburan baharu berkualiti dan berimpak tinggi, memperluaskan jaringan perdagangan antarabangsa serta memperkukuhkan sektor industri.

“Sektor ini menjadi penyumbang utama pembangunan ekonomi negara,” katanya.-BH Online