Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LIPIS: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menasihatkan rakyat negeri ini melihat prestasi pentadbiran kerajaan hari ini melalui data dan fakta, bukan berpandu naratif auta yang sering dimainkan pembangkang.

Beliau berkata, semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), naratif memburukkan kerajaan oleh pihak pembangkang sangat kuat sehingga mempengaruhi pemikiran pengundi ketika itu.

“Lihat sekarang, sebagai contoh kita menyediakan perumahan untuk rakyat demi kesejahteraan mereka daripada hasil negeri yang sangat memberangsangkan.

“Cuba lihat negeri lain (ditadbir pembangkang) tiada apa yang boleh dicontohi… kita (sebaliknya) buktikan apa kita buat.

“(Sebagai contoh) semalam jumlah keseluruhan hak milik yang diluluskan kerajaan negeri Pahang bagi FELCRA Kerdau 1, 2, 3 dan 14 dan Skim Tanah Rakyat di daerah Temerloh sebanyak 1,465 hak milik dan kelulusan tanah diberikan ini untuk kegunaan pertanian dan bangunan (kediaman), untuk tanah pertanian seluas antara 0.5 hingga 3 ekar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar Indah Jaya dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4, Daerah Lipis, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy mempersoalkan kenyataan pembangkang yang mendakwa pentadbiran negeri lembik sedangkan prestasi kerajaan negeri boleh dilihat dan bukan sekadar omongan kosong seperti sering dimainkan pembangkang.

Memberi contoh 100 unit rumah PR1MA Pahang dan 25 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4 yang diserahkan kepada penerima hari ini, katanya ia bukti komitmen kerajaan negeri membahagiakan rakyat apabila menawarkan kediaman pada harga RM150,000 lebih rendah berbanding harga pasaran biasa iaitu kira-kira RM300,000.

“Di Tanjung Gahai kita serahkan 30 unit Rumah Makmur berharga RM80,000… bantuan rumah ini usaha berterusan kerajaan kerana ini keperluan asas rakyat, kerajaan terus membantu sebaik mungkin tetapi kestabilan politik dan pendapatan hasil negeri perlu dalam situasi baik

“Bila keadaan pendapatan negeri baik, ia akan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan pelbagai kemudahan, bilangan penduduk pun bertambah dan keperluan rumahpun amat diperlukan,” katanya.-BH Online