Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLANG: Kerajaan akan menyediakan peruntukan bagi memperbaiki dan menambah baik laluan sedia ada di sepanjang Pelabuhan Klang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia seiring usaha kerajaan mengembang prasarana dan infrastruktur di pelabuhan utama negara.

Beliau berkata, cadangan membina laluan baharu bagi mengatasi kesesakan di pelabuhan itu akan diteliti, memandangkan ia memerlukan komitmen kewangan yang tinggi.

“Mahu buat jalan besar baharu, itu kita ambil masa. Cadangan itu saya setuju. Saya balik ke pejabat nanti, saya akan minta ia diteliti.

“Buat masa ini kita luluskan peruntukan baiki jalan raya sedia ada,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama komuniti setempat dan warga kerja Westport 2 di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari serta Pengerusi Eksekutif Westport Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.

Anwar berkata, projek mengembang dan menambah kapasiti pelabuhan di Pelabuhan Klang sudah beberapa kali dibangkit dan disentuh dalam mesyuarat Kabinet, menunjukkan ia projek yang penting kepada negara. 

“Kita akan bagi semua sokongan yang perlu, sebab kita mahu pelabuhan ini menjadi pelabuhan utama, kerana dia (pelabuhan) nombor 11 (terbaik di dunia). Pasal apa (sebaiknya mengapa) tak boleh nombor empat, lima,” katanya.

Westports 2 adalah projek pengembangan pelabuhan, dijangka menyumbang sebanyak RM55 bilion kepada ekonomi Malaysia, sepanjang tempoh projek berdasarkan Laporan Penilaian Impak Ekonomi PricewaterhouseCoopers (PwC) bertarikh 12 Disember 2022.

Zon bebas baru dengan keluasan 550 ekar akan menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan merangsang lebih banyak Pusat Pengedaran Serantau dan Global seperti IKEA, Robert Bosch dan Marks & Spencer yang sedia berada di sini. 

Westports 2 juga dibangunkan dengan automasi dan pendigitalan, dimana lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan untuk rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, projek pengembangan pelabuhan ini juga dilaksana seiring kemasukan pelaburan besar ke dalam negara.

“Kita lihat usaha rakan-rakan kita diterajuiTengku Zafrul (MITI) membawa balik pelaburan besar. Kini, Malaysia jadi hub konduktor, selain digitial dan industri tenaga. Maka ekosistem prasarana harus diperkemaskan,” katanya.

Katanya, ia juga akan memacu pertumbuhan perdagangan antara Malaysia dan negara luar, terutama selepas negara bersetuju menyertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).

“Keutamaan kita adalah soal kebajikan rakyat dan perdagangan kita dengan negara lain. Sebab itu kita masuk BRICS supaya kita dapat terus (berdagang) dengan sahabat lama Amerika Syarikat (AS) dan cari ruang dengan rakan-rakan baru,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama komuniti setempat dan warga kerja Westport 2, Anwar berkata, seiring pengembangan pelabuhan itu, soal kebajikan pekerja pelabuhan mesti diberi perhatian pihak pengurusannya. 

“Kalau produktiviti sudah meningkat nanti, jadi upah pun naiklah sikit. Pekerja itu harus diberi layanan baik. Saya gesa pengurusan sebaik saja kita dapat capai tahap tinggi, jadi upah pekerja harus ditingkatkan selari prodtiviti.

“Kita hidup dipersekitaran yang tidak semuanya selesa. Sekolah mereka (anak-anak kakitangan), kemudahan kesihatan dan perumahan. hal sebegini bagi sektor swasta yang berjaya, ini mesti diambil kira,” katanya. -BH Online