Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambilalih aspek pendidikan ke atas sekurang-kurangnya 300 anak pengikut GISB Holdings (GISBH) yang kini ditempatkan di rumah perlindungan, bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM akan melaksanakan pendidikan berdasarkan modul khas mengikut kohort pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Melalui fasa pertama ini, modul khas disediakan kerana mereka tidak berada dalam sesi persekolahan biasa dan arus perdana.

“Setakat ini kita buat penilaian 3M iaitu membaca, mengira dan menulis selain psikososial..kita sedang melakukan sesi bersama kaunselor KPM,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM, di sini hari ini.

Ratusan kanak-kanak yang terdiri daripada anak pengikut GISBH berjaya diselamatkan polis melalui operasi yang dilaksanakan di beberapa negeri sehingga kini.

GISBH didakwa mengeksploitasi kanak-kanak malah ada sebahagian mereka ini di ‘bin’ kan dengan Abdullah, sekali gus tidak mengenali ibu bapa masing-masing.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, dalam pelaksanaan modul khas ini, KPM akan mengadakan penggiliran guru dan juga intervensi yang dilakukan dari masa ke semasa berdasarkan tiga kohort terbabit.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya dari semua pihak sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam aspek pengambilalihan pendidikan terbabit.

Katanya, inisiatif itu diambil bagi memberikan akses pendidikan rasmi dan berstruktur kepada mereka bagi mengelakkan keciciran, sekali gus memastikan kanak-kanak ini bersedia untuk diserap kembali ke sistem pendidikan kebangsaan.

“Kita ada komitmen yang tinggi untuk memastikan anak ini dapat mengikuti sepenuhnya pendidikan…kita bimbang sekiranya mereka tertinggal sepanjang tempoh siasatan.

“Justeru kita mengambil tanggungjawab bagi memastikan pendidikan mereka dapat dijamin…selepas selesai penilaian dan sesi kaunseling, KPM akan mengambil alih dalam aspek pendidikan,” katanya.

Fadhlina berkata, sebab utama kanak-kanak itu diberi pendidikan rasmi di tempat perlindungan adalah kerana isu keselamatan.

Ditanya sama ada ibu bapa kanak-kanak itu yang terdiri daripada pengikut GISBH akan diambil tindakan kerana tidak menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan rasmi, Fadhlina berkata, perkara itu sedang dibincangkan bersama pasukan undang-undang.

“Kita sudah maklumkan sebelum ini bahawa isu ini sangat serius apabila anak-anak dinafikan persekolahan sedangkan mengikut Akta Pendidikan 1996 dan dasar pendidikan wajib.

“Pasukan undang-undang sedang meneliti dan barangkali jika ada tindakan diambil kita akan maklumkan dari masa ke semasa,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM akan mengambil tindakan lanjut untuk merangka pelan jangka masa panjang bagi kanak-kanak itu bersama kementerian berkaitan selepas status mereka dimuktamadkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan mereka mendapat pendidikan rasmi di sekolah.

Mengenai modul itu, Fadhlina berkata, konsep sekolah nukleus dan kelas satelit diambil berpandukan satu model dalam Program Jom Belajar, iaitu Program Khas Murid Orang Asli (PROKHAS) diperkenalkan KPM khusus untuk memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak pernah bersekolah. 

Katanya, bagi memenuhi keperluan pendidikan bagi kanak-kanak itu yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, program ini akan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) bagi fasa pertama.

“Kit Program Transisi Tahun 1 memberi penekanan terhadap aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi menyesuaikan serta membina keyakinan diri dan seterusnya sebagai persediaan holistik bagi kanak-kanak ini termasuk dalam penguasaan literasi dan numerasi.

“Penggunaan kit ini distrukturkan dalam dua fasa, iaitu fasa penyesuaian dan fasa kesediaan,” katanya.-BH Online