Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mahu siasatan lanjut dibuat susulan kematian seorang pakar perubatan di Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa dikaitkan dengan insiden bunuh diri akibat dibuli di tempat kerja.

Menegaskan perkara itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi sama sekali terhadap sebarang perbuatan buli dan pendekatan sama juga sudah diamalkannya sejak 2018 ketika beliau pertama kali memegang jawatan menteri kesihatan.

Malah, beliau berkata, pihaknya juga sedang meneliti beberapa kes aduan yang diterimanya sehingga kini berhubung insiden pembulian membabitkan doktor di negara ini.

“Saya tiada toleransi terhadap insiden buli sejak 2018 lagi. Saya akan tetap berpegang teguh pada dasar ini (beberapa kes lagi dalam tangan saya),” katanya melalui aplikasi X, hari ini.

Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, semua kakitangan Kementerian Kesihatan berhak mendapatkan suasana kerja yang selamat.

Kelmarin, tular di Facebook yang memaklumkan seorang doktor ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu pada 29 Ogos lalu didakwa disebabkan tindakan bunuh diri berikutan tidak tahan dibuli.

Perkara itu didedahkan adik mangsa yang mendakwa kakaknya ditindas selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Pada 2018, Dr Dzulkefly menggantung tugas Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital kerajaan yang didakwa terbabit dengan kes gangguan seksual.-Harian Metro Online