KOTA KINABALU, 15 September- Acara Riuh Bah! akan terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana ia memberi peluang yang baik untuk memperagakan keupayaan dan minat kreatif anak-anak muda, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata acara anjuran Kementerian Komunikasi melalui Kumpulan MyCreative Ventures itu terbukti dapat memberi ruang terutama kepada para usahawan dan pemuzik menunjukkan bakat masing-masing.
“Harapan saya ramai yang ambil kesempatan untuk menikmati persembahan yang disediakan, juadah yang dijual dan kraftangan yang diperagakan.
“Kita jangkakan lebih 20,000 pengunjung datang…acara ini program kebanggaan kementerian kerana berupaya menarik minat anak muda menonjolkan bakat,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke acara berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.
Acara Riuh Bah!, Kembara Riuh 2024 yang berlangsung bermula semalam itu menjadi acara pembuka tirai sambutan Hari Malaysia dijadual pada malam esok di Padang Merdeka di sini.
Acara itu turut menampilkan artis termasuk Anuar Zain, Estranged, iamNeeta dan artis tempatan Sabah di samping penyertaan 40 vendor kreatif serta 30 vendor makanan dan minuman.- BERNAMA