Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kajang: Sebanyak 61 daripada 88 projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negara berjaya disiapkan, setakat Ogos lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, PR1MA mempunyai 88 projek membabitkan 54,137 unit di seluruh negara yang berada dalam pelbagai fasa pembangunan. 

“Daripada jumlah itu, 61 projek membabitkan 41,321 unit rumah sudah disiapkan manakala 27 projek membabitkan 12,816 unit masih dalam fasa perancangan dan pembinaan.

“Jumlah ini termasuk projek sakit yang saya yakin semuanya akan disempurnakan penghujung tahun ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Nexus Kajang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.

Sementara itu, beliau berkata, Residensi Nexus Kajang dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai lebih RM128 juta menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada Februari lalu.

Katanya, sehingga kini lebih 95 peratus daripada 393 pembeli menerima kunci unit kediaman mereka sejak suku pertama 2024.

“Pembangunan Residensi Nexus Kajang sebagai sebuah Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) pertama PR1MA dan amat dialu-alukan KPKT. 

“Pembinaan TOD bukan sahaja penting bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar dan jejak karbon, malah ia juga meningkatkan akses penduduk kepada peluang pekerjaan, mobiliti dan kesihatan. 

“Kita amat memahami generasi muda yang baru membina keluarga dan kerjaya di ibu kota, sering berdepan dengan isu perumahan untuk mendapatkan kediaman mampu milik dan dalam masa sama, mempunyai akses pengangkutan awam dalam lingkungan berdekatan. 

“Justeru, kediaman berkonsepkan TOD ini langkah strategik bagi menangani isu itu,” katanya.

Sementara itu, pembeli, Munirah Mohd Khanif, 37, berkata, dia menabung selama 15 tahun untuk memiliki kediaman sendiri sebelum ditawarkan Residensi Nexus Kajang yang disifatkannya berbaloi kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan lokasinya strategik.

“Saya menyimpan kira-kira RM800 hingga RM1,000 menggunakan wang gaji saya setiap bulan selama 15 tahun.

“Selepas memohon dengan PR1MA sebelum 2020, saya akhirnya ditawarkan rumah ini pada harga RM395,000.

“Saya gunakan wang simpanan untuk membayar wang pendahuluan supaya saya mampu membuat bayaran bulanan pada harga lebih rendah,” katanya.

Residensi Nexus Kajang adalah projek usaha sama kerajaan dan swasta antara PR1MA dan Metro KL City Sdn Bhd, ia menawarkan penduduk akses pengangkutan awam seperti stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kajang dan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang serta lebuh raya utama dengan mudah. 

Kediaman itu yang menawarkan tiga bilik tidur dan dua bilik air diiktiraf Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan skor 78 peratus dalam Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC).-Harian Metro Online