Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada dasarnya bersetuju mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap enam hingga lapan setaraf Ijazah Sarjana Muda kelas pertama. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu diluluskan secara dasarnya melalui mesyuarat Jemaah Menteri, minggu lalu. 

“Alhamdulillah dengan izin dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu pada dasarnya meluluskan bahawa SKM enam, tujuh dan lapan adalah setaraf dengan Ijazah (Sarjana Muda) kelas pertama 

“Ini yang harus direbut oleh pelajar Tahfiz… kita juga akan usahakan huffaz tanpa SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun masuk ke universiti,” katanya semasa berucap dalam Majlis Himpunan 24,000 Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

 itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. 

Pada majlis yang dianjurkan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan), pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara itu, turut diadakan ialah bacaan al-Quran beramai-ramai, penganugerahan huffaz cemerlang dan ceramah perdana. 

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya turut mensasarkan sebanyak 10,000 pelajar Maahad Tahfiz akan menyertai TVET menjelang 2027. 

Beliau berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai sekiranya kerajaan menambah peruntukan dalam aspek itu pada masa akan datang. 

Katanya, beliau melihat perkembangan positif apabila sebanyak 17 Maahad Tahfiz pada mulanya menyertai TVET, kini sudah ada 622 pelajar mengikuti kursus terbabit dalam tempoh kurang dari dua tahun.

“Melalui Belanjawan 2023, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memperuntukkan RM1.4 bilion untuk agama Islam dan ia ditingkatkan kepada RM1.9 bilion pada tahun ini. 

“Bulan hadapan (Belanjawan 2025) insya-Allah melalui ucapan Belanjawan, pada hemat saya lebih RM2 bilion untuk agama Islam,” katanya. 

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,199 Maahad Tahfiz sudah berdaftar di bawah JAKIM yang membabitkan 125,000 pelajar. 

Namun katanya, masih terdapat kira-kira 2,500 maahad tahfiz yang masih belum berdaftar kerana tidak mempunyai syarat mencukupi bagi proses pendaftaran. 

“Bagi pihak pelajar maahad tahfiz ini, bantulah cari jalan untuk tambah peruntukan supaya dapat dipermudah institusi ini untuk didaftarkan,” katanya.-BH Online