TENOM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini melancarkan Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) dengan kadar keuntungan sifar peratus bagi penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata Bank Rakyat menyediakan RM8 juta dana peruntukan untuk pelaksanaan program pembiayaan itu.
“Jumlah pembiayaan hingga RM10,000 ditawarkan bergantung kepada kelayakan, keupayaan bayaran ansuran dan keperluan perniagaan pelanggan berdasarkan penilaian Bank Rakyat.null
“Dengan pembiayaan pada kadar keuntungan sifar peratus, ia pasti melegakan usahawan mikro dalam menguruskan kewangan secara lebih berkesan dan fokus kepada pembangunan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Santai Namun Sampai dan Pelancaran Logo Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di sini, hari ini.
Mengenai Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, program terbaharu KUSKOP yang mula dilaksanakan tahun ini, Ewon berkata, sebanyak 36 tapak Tamu Desa di Sabah termasuk dua di Tenom dan 13 di Sarawak kini dalam pembinaan.
“Projek Tamu Desa yang ini membabitkan penaiktarafan dan bina baharu dengan kos RM9 juta untuk Fasa 1 2024.
“Matlamat utama pelaksanaan projek Tamu Desa adalah menyediakan atau menaik taraf ruang niaga atau pusat penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif serta memberi akses pemasaran produk jualan lebih berkesan,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP sedang menaik taraf dua tapak Tamu Desa iaitu di Melalap dan pekan Tenom membabitkan peruntukan RM400,000 dan dijangka siap sepenuhnya awal Oktober ini. – BERNAMA