Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengambil pendekatan serius dalam memantapkan tatakeloka memerangi jenayah kolar putih, dengan melancarkan buku Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi tahun 2024-2028 atau GENTAR, hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pelancaran GENTAR itu adalah komitmen NAFAS bersama-sama kerajaan, ke arah menghapuskan segala bentuk rasuah di setiap peringkat.

“Sebab itu, ada beberapa yang ditegaskan (di dalam GENTAR) supaya semua bentuk perolehan, projek dan apa semua hendaklah melalui jalan yang telus dan integriti. Apa yang disebut hadiah, pemberian kadang-kadang berlaku… sebab kadang kala kita anggap dia hadiah, rupanya rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku itu di Ibu Pejabat NAFAS di sini.null

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim; Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Gunawan Che Ab Aziz dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Ariffin.

Mohamad berkata, integriti adalah perkara asas yang perlu diperbaiki dalam memerangi gejala rasuah dalam kalangan pekerja.

“Soal rasuah ini memeranginya bukan undang-undang nombor satu, tetapi integriti itu yang lebih penting. (kerana) dari segi undang-undang ini, kadang-kadang ada yang cari jalan untuk mengelak, tetapi integriti ini jarang orang boleh elak kerana ia bergantung kepada disiplin diri seseorang itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dalam ucapannya berkata, GENTAR adalah panduan kepada warga kerjanya melalui prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan, berintegriti dan antirasuah, agar setiap aktiviti yang dilaksanakan sentiasa bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Lima aspek utama GENTAR meliputi pentadbiran, tadbir urus korporat, perolehan, kewangan dan operasi akan menjadi panduan warga NAFAS sekali gus memberi impak kepada penyampaian perkhidmatan kepada rantaian pertubuhan peladang di seluruh negara,” katanya.

Zamri turut berharap warga peladang di semua peringkat, dapat bersama dalam meningkatkan sahsiah dan integriti di dalam organisasi sekali gus mencapai penarafan risiko rendah dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, NAFAS dikategorikan sebagai risiko sederhana bagi penarafan tahun 2023 berbanding risiko tinggi bagi penarafan tahun 2020. –BERNAMA