Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia komited mematuhi piawaian antarabangsa ditetapkan Financial Action Task Force (FATF) yang menekankan kepentingan ketelusan pemunyaan benefisial sebagai asas utama dalam usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata susulan itu, pindaan terbaru kepada Akta Syarikat 2016, melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang telah berkuat kuasa sejak 1 April lalu, menandakan langkah signifikan dalam memperkukuh tatakelola korporat di negara ini.

Beliau berkata, kerangka perundangan baharu itu memperkenalkan pelbagai perubahan yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat, serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat. 

“Pindaan ini melambangkan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk bersama-sama menerajui strategi dan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menyokong agenda reformasi.

“Ini termasuk pengukuhan kerangka tatakelola kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhannya, serta memastikan ketelusan yang lebih baik dalam ekosistem perniagaan dan sektor korporat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu beliau berkata, kerangka perundangan itu turut memberi penekanan kepada pengawasan yang lebih ketat dan pelaporan yang lebih jelas mengenai pemunyaan benefisial. 

Katanya, ia bertujuan mengurangkan risiko penyelewengan dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pihak berkepentingan lain terhadap integriti sistem perniagaan di Malaysia.

“Pendekatan ini adalah selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah pusat perniagaan yang berintegriti tinggi dan berdaya saing dalam arena global.

“Malah, perkara ini seiring konsep Malaysia MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Justeru Armizan berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, sistem e-BOS (Electronic Beneficial Ownership System) telah dilancarkan untuk mempermudahkan proses serah simpan dan pengurusan maklumat pemunya benefisial. 

Katanya, sistem itu bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko penyelewengan dengan menyediakan platform yang efisien bagi syarikat untuk menyerah simpan maklumat penting mengenai pemilik sebenar mereka. 

“Sistem e-BOS bukan sahaja mempermudahkan pelaporan tetapi juga memastikan bahawa maklumat yang dikumpul adalah tepat dan terkini.

“Malah, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif yang tersenarai dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat pemilikan benefisial mereka.

“Ini menunjukkan kadar pematuhan sebanyak 55.3 peratus yang merupakan langkah positif ke arah mencapai matlamat ketelusan yang lebih tinggi dalam sektor korporat,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu menggambarkan komitmen yang semakin mendalam daripada sektor perniagaan untuk memenuhi piawaian ketelusan yang ditetapkan dan menyokong usaha reformasi yang dilaksanakan di bawah konsep Malaysia MADANI.

Terdahulu, beliau melancarkan Persidangan Kebangsaan SSM (SSMNC2024) yang dianjurkan secara dalam talian dengan rekod penyertaan lebih 3,000 delegasi termasuk wakil daripada ahli Corporate Registers Forum dari Singapura, Hong Kong, Tunisia, Republic of Kiribati serta Afrika Selatan.

Matlamat utama persidangan itu katanya, adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik korporat di samping membincangkan perkembangan terkini dalam perundangan yang mempengaruhi perniagaan di Malaysia bersama pakar yang diketengahkan.

“SSMNC2024 yang memasuki tahun ke-13 penganjuran telah berkembang menjadi sebuah platform utama untuk wacana dan perbincangan bagi para profesional perniagaan dan korporat,” katanya.-BH Online