Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: “Bila kena dekat mereka, kerajaan tidak adillah, double standardlah (pilih kasih).”

Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai dakwaan BERSATU berhubung siasatan polis terhadap presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kononnya dilakukan secara tergesa-gesa.

Menurut Ahmad Zahid yang pernah berdepan pertuduhan di mahkamah sebelum ini, tiada pula kenyataan daripada pemimpin berkenaan yang mempertikai kewibawaan polis yang menjalankan siasatan dalam kesnya.

Presiden UMNO itu berkata apabila siasatan dan pendakwaan dikenakan terhadap pemimpin mereka, bermacam-macam tuduhan dan pertikaian dilemparkan yang kononnya ia dijalankan secara tidak adil dan sebagainya.

“Kalau mereka (siasatan terhadap pemimpin BERSATU) tergesa-gesa (tapi) kalau kena dekat saya, oh ini satu siasatan yang sangat komprehensif. 

“Ini realiti yang bila anda buat salah, siasatan telah dilakukan, AG (Peguam Negara) mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mendakwa.

“Saya dulu didakwa sebelum siasatan selesai. Itu sebab di dalam saya menghadapi pertuduhan itu, pindaan dibuat terhadap pertuduhan itu. Tiada pula dia kata kerajaan berlaku adil.

“Bila kena dekat mereka, kerajaan tidak adillah, double standardlah… janganlah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Presiden ISSA, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Semalam, BERSATU mendakwa siasatan politik berhubung ucapan Muhyiddin, ynag dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah dilakukan secara tergesa-gesa.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dilaporkan berkata pendakwaan segera ke atas Muhyiddin oleh Peguam Negara berhubung kes itu juga menimbul banyak lagi persoalan.

Hari ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang.

Media sebelum ini melaporkan polis menyiasat laporan dibuat terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.-BH Online