Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEAKRABAN terserlah apabila Perdana Menteri India, Narendra Modi dengan tangan terbuka menerima kunjungan dan memeluk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika upacara sambutan rasmi di kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan, di New Delhi, India kelmarin.

Senario kedua-dua pemimpin berpimpin tangan memasuki dewan utama, disusuli dengan Anwar menyifatkan Modi rakan baik ketika zaman ‘susah dan senang’ beliau dan memanggilnya sebagai ‘abang’ ketika sidang media bersama, membuktikan ini bukan sekadar persahabatan biasa.

Anwar tiba di New Delhi pada Isnin lalu bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-India yang terjalin selama 67 tahun selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor pada masa hadapan.

Menyertai beliau ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Digital, Gobind Singh dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menyertai mereka ialah Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran; Pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India, P Prabakaran dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. Ini adalah lawatan pertama Anwar ke India sejak menjadi Perdana Menteri pada November 2022.

Ternyata hubungan Malaysia-India pernah renggang sebelum ini, kini kembali ke landasan sepatutnya di bawah Anwar, dengan pelbagai kerjasama dua hala dimeterai sepanjang lawatan rasmi tiga hari ke India bermula Isnin lalu. 

Modi menyifatkan hubungan India-Malaysia tidak mungkin terjejas kerana Malaysia mempunyai sekitar 2.9 juta penduduk berketurunan India selain 160,000 pekerja asing warga India kini berada di Malaysia. 

Beliau berkata, India dan Malaysia akan meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti semikonduktor, teknologi kewangan (fintech) dan pengeluaran pertahanan, sebagai asas memantapkan semula hubungan.

Hubungan merosot sekitar lewat 2019 berikutan beberapa kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap New Delhi menghapuskan autonomi satu-satunya wilayah Kashmir majoriti penduduknya Islam. Tindakan itu secara langsung menjejaskan pembelian minyak sawit Malaysia oleh India, sebelum sektor lain turut terjejas.

Bagaimanapun, kini bidang memerlukan teknologi baharu dan moden seperti semikonduktor, fintech, industri pertahanan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum, mencetuskan kerjasama baharu India-Malaysia.

Anwar dan Modi turut membincangkan potensi menjalankan perdagangan dua hala dalam mata wang rupee dan ringgit, dengan India cuba meningkatkan penerimaan rupee kerana sekatan ke atas negara seperti Russia mendedahkannya kepada pergantungan besarnya pada dolar.

Perdana Menteri berkata Bank Negara Malaysia (BNM) bersetuju meningkatkan lagi penggunaan rupee dan ringgit bagi pertumbuhan perdagangan dua hala seperti dibuktikan menerusi kejayaan dagangan Malaysia dengan China, Thailand dan Indonesia.

Pada masa sama, Anwar turut menyarankan supaya lebih banyak negara sewajarnya menggunakan mata wang negara masing-masing dalam perdagangan daripada bergantung kepada sistem kewangan lama terikat kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

Transaksi guna rupee dan ringgit

Dalam kenyataan awal pada sidang media bersama Anwar, Modi berkata India-Malaysia sedang mencatat kemajuan dan transaksi kini dapat diselesaikan menggunakan rupee dan ringgit.

Satu kenyataan bersama India-Malaysia menyatakan kedua-dua pemimpin itu dalam perbincangan mereka turut ‘menghargai kerjasama antara Reserve Bank of India dan BNM untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian mata wang tempatan dalam perdagangan serta pelaburan dua hala, selain menggalakkan industri kedua-dua pihak memudahkan lagi aspek invois dan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan’.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menyasarkan untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonominya menerusi penyertaan dalam platform antara kerajaan seperti BRICS selain meningkatkan kerjasama melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.

Justeru, Malaysia mengemukakan permohonan, bersandarkan kepada sokongan India, untuk menyertai BRICS, blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun ditubuhkan pada 2009 merangkumi Brazil, Russia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010. Pada Januari lalu, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

Sambil menyifatkan perkumpulan itu sebagai minilateralisme, Anwar berkata berbeza dengan segelintir pandangan mempertikaikan pengaturan sedemikian, Malaysia sebaliknya percaya mekanisme sedemikian penting dalam usaha penyampaian manfaat awam demi faedah rakyat serta meningkatkan taraf hidup.

Secara kumulatif, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah AS$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara kumpulan G7.

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan penduduk besar sebanyak 3.21 bilion, dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE dihuni 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran besar merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus penduduk dunia.

Justeru, persetujuan Malaysia dan India meningkatkan hubungan mereka daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), boleh dianggap sebagai asas untuk memudahkan penerimaan negara sebagai anggota BRICS.

Anwar turut menekankan kemudahan perbincangan antara kedua-dua negara dan keputusan bersama meningkatkan hubungan dengan CSP menandakan satu langkah ke hadapan penting pada masa hadapan.-BH Online