Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: BERSATU diibaratkan parti politik yang jatuh ditimpa tangga kerana bukan saja tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Nenggiri, malah presidennya kini disiasat polis.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, mendakwa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi punca kepada banyak kontroversi membabitkan institusi diraja.

“Kita tahu dan sedar bagaimana sewaktu Parlimen dahulu ditutup (ketika COVID-19), juga ada titah tuanku (Yang di-Pertuan Agong ketika itu) mengenai penutupan Parlimen membabitkan Tan Sri Muhyiddin.

“Saya lihat keadaan ini tidak baik bagi BERSATU. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kalah PRK Nenggiri, kini disiasat polis pula,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang membuat laporan polis dan menyalahkan sebuah portal berita berhubung video tular membabitkan Muhyiddin.

Video yang tular di media sosial itu memaparkan ucapan bekas Perdana Menteri terbabit yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjawat Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Wan Fayhsal itu, Fahmi mendakwa, Ketua ARMADA BERSATU itu panik dan cuba menyalahkan pihak lain.

Katanya, beliau menyaksikan siaran langsung ucapan Muhyiddin di media sosial.

“Saya sendiri menyaksikan ucapan mantan Perdana Menteri itu dalam ‘live’ TikTok dan kalau tak silap saya, yang menyiarkan ‘live’ itu ialah saluran parti PAS.

“Jadi kalau nak salahkan mana-mana pihak, salahkan organ PAS yang menyiarkan ucapan terbabit secara langsung dan saya rasa Wan Fayhsal mungkin berasa panik sebab sekali lagi Presiden BERSATU menjadi punca banyak kontroversi,” katanya.-BH Online