Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Paetongtarn Shinawatra yang dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand yang baharu.

Anwar berkata, pemilihan Paetongtarn menjadikan wanita berusia 37 tahun itu sebagai Perdana Menteri Thailand termuda dan wanita kedua yang memegang jawatan berprestij itu.null

Katanya, sebagai negara berjiran, Malaysia dan Thailand memiliki kerjasama penting berterusan, dibentuk melalui hubungan sejarah, budaya, dan ekonomi serta ikatan kekeluargaan yang erat.

“Ia dibuktikan menerusi kerjasama mencapai keamanan dan pembangunan di selatan Thailand yang menawarkan manfaat mendalam kepada komuniti di kedua-dua sempadan.

“Saya turut menantikan peluang bekerjasama dengan Paetongtarn sekali gus membuka potensi penuh hubungan dua hala di antara dua negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, beliau juga menyampaikan penghargaan tulus kepada bekas Perdana Menteri, Srettha Thavisin atas kepimpinannya mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua negara.

Kelmarin, Ahli Parlimen Thailand memilih Paetongtarn, anak perempuan jutawan Thaksin Shinawatra, yang berusia 37 tahun sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Paetongtarn, yang bapa dan ibu saudaranya pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri, adalah pemimpin termuda dalam sejarah kerajaan Raja Berperlembagaan Thailand.

Beliau menjadi Perdana Menteri wanita kedua kerajaan selepas ibu saudaranya, Yingluck Shinawatra, dalam undian terpaksa diadakan selepas Mahkamah Perlembagaan kerajaan memecat Srettha.-BH Online