KUANTAN: Polis menerima 28 laporan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Setakat ini, kami telah menerima 28 laporan yang dibuat di seluruh daerah Pahang dan kertas siasatan akan dibuka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook semalam, telah menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu. – BERNAMA