Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak 10 inisiatif pemangkin akan dilancarkan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang akan membawa masuk pelaburan bernilai di antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang tahun 2050.

“Kita telahpun menyahkan pengharaman eksport ke atas tenaga boleh diperbaharui dengan hasrat meningkatkan hasil yang boleh diperoleh oleh syarikat.

“Kedua kita mengumumkan penubuhan pusat penukaran elektrik berpusat yang akan berfungsi berdasarkan agregator pasaran yang adil dan telus.

Rafizi berkata demikian semasa menyampaikan ucaptamanya di pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Fasa 1.

“Inisiatif pertama menerusi Khazanah Nasional Berhad ialah zon tenaga diperbaharui melibatkan syarikat UEM dan ITRAMAS. Pusat tenaga solar hibrid photovoltaic (PV) ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara.”

Projek ini telah menarik pelaburan bernilai RM6 bilion dan perjanjian persefahaman ditandatangani hari ini.

Di Sarawak projek hidrogen dalam kerangka carbon capture and storage akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Dalam usaha menggalakkan penggunaan panel solar, kerajaan bercadang memberikan pilihan memajakkan bumbung dan menjadikannya pendapatan bulanan yang mampu mengurangkan bil elektrik.

Sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk memasang panel solar di atas bumbung bangunan kerajaan.

Sebanyak 10,000 stesen mengecas akan dibina sepanjang lebuhraya dan premis perniagaan menjelang tahun 2025.

Fasa 1 pelan ini akan mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan.

Rafizi turut memberitahu hadirin bahawa Malaysia menduduki kedudukan ke-35 di dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 kendalian Forum Ekonomi Dunia.

Di peringkat Asia Tenggara, Malaysia menduduki tempat pertama dan di Asia, kedua.

Malaysia juga terlibat dalam projek tenaga serantau seperti projek penyepaduan tenaga Lao-Thailand-Malaysia-Singapura.