KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bermula minggu depan, tidak akan membabitkan kehadiran pemimpin utama Kerajaan Perpaduan, selain hanya pemimpin dari parti komponen Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO mengambil pendekatan berbeza berbanding pada perhimpunan tahun lalu, dengan mengutamakan keluarga besar UMNO.
Katanya, keputusan untuk tidak menjemput pimpinan parti politik khususnya Pakatan Harapan (PH) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah dipersetujui di peringkat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Kita sudah bincang di peringkat majlis kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk PAU tahun kedua ini, kita buat secara keluarga UMNO terlebih dahulu, tahun pertama (tahun lalu) kita buat jemputan dan Insya Allah mungkin tahun depan atau tahun sebelum pilihanraya biasanya.
“Dalam hal (PAU kali) ini kita mahu memberikan ruang seluasnya kepada keluarga besar UMNO untuk berbincang secara kekeluargaan, tidak ada pemimpin utama parti yang akan datang kali ini.
“Ini macam ada kesepakatan bersamalah sebab PKR pun dia sudah selesai, tapi komponen BN seperti biasalah (akan dijemput),” katanya pada sidang media khas sempena PAU 2024 di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Turut sama hadir, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan.
Tahun lalu, julung kali PAU menyaksikan kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin DAP serta Parti Amanah Negara (AMANAH).
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, fokus PAU kali ini banyak bertumpu mengupas isu-isu rakyat, selain usaha dan pencapaian UMNO dalam membawa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), halal dan tahfiz dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, mesyuarat UMNO bahagian yang selesai bersidang minggu lalu juga lebih banyak membangkitkan usul berkepentingan rakyat berbanding isu politik termasuk menyentuh kerjasama UMNO dengan PH.
“Saya kira agenda PAU kali ini banyak bersifat untuk memfokuskan kepada soal rakyat. Ini satu perkembangan bagus. UMNO tidak sangat membicarakan soal dalaman dan retorika politik UMNO.
“Program membantu rakyat, soal Dasar Tahfiz Negara, isu halal dan TVET dan kos sara hidup rakyat. Ini banyak diberi tumpuan dan dibangkitkan perwakilan,” katanya.
Mengulas mengenai usul supaya dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang, Asyraf berkata, hanya satu bahagian mengemuka usul sedemikian.
“Kita punya pemilihan lambat lagi. Selagi bukan tahun pemilihan, dia tidak banyak timbulkan (dalam mesyuarat bahagian). Hanya satu bahagian saja (kemuka usul itu). Tradisi dalam UMNO, kalau bukan ‘mood’ pemilihan, ia bukan jadi isu (keutamaan) besar,” katanya.
Menyentuh perjalanan PAU kali ini, Asyraf berkata pelbagai program dan aktiviti disediakan UMNO untuk orang ramai dan perwakilan yang hadir, bermula seawal Ahad ini.
Antaranya kata beliau, penganjuran International Young Future Leaders SUMMIT
(Ifuture 2024); Pameran Explorasi Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET), selain 100 gerai jualan menjual pelbagai barangan termasuk makanan dan minuman.
“PAU 2024 juga dianggar menyaksikan kehadiran 6,433 perwakilan, iaitu 2,939 orang perwakilan bagi PAU, 1,171 perwakilan wanita, 1,173 sayap pemuda serta 1,150 sayap puteri,” katanya.-BH Online