Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Pemilihan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai lokasi pendaratan terbaharu syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot bermula 23 Oktober ini dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini kerana laluan baharu syarikat penerbangan berkenaan akan memberi pilihan kepada pelancong yang melakukan transit di Singapura sama ada melalui jalan darat atau udara untuk ke Melaka.

Beliau berkata, dengan kekerapan penerbangan lima kali seminggu dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dalam usaha kerajaan negeri mengaktifkan semula LTAM menerusi penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Dalam masa sama, kita juga sedang melakukan beberapa lagi rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan lain bagi menjadikan LTAM sebagai destinasi penerbangan mereka, sekali gus dapat merancakkan lagi sektor pelancongan serta ruang ekonomi untuk rakyat negeri ini.

“Dengan menawarkan serendah RM280 tiket pergi dan balik ke Singapura, penerbangan Scoot ke Melaka secara tidak langsung dapat mempromosikan Melaka terutama penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sedang rancak dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan MATTA Fair 2024 peringkat negeri di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Singapore Airlines dalam kenyataan memaklumkan, Scoot akan melakukan penerbangan lima kali seminggu ke Melaka mulai 23 Oktober dan dua kali seminggu ke Kertajati, Indonesia, bermula 28 September ini.

Laluan baharu itu akan memperluas rangkaiannya kepada 72 destinasi dan akan bertepatan dengan ketibaan pesawat Embraer E190-E2 ketiga dan keempat Scoot, masing-masing dinamakan Jalan-Jalan dan Travel Kaki pada September dan Oktober ini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, MATTA Fair 2024 peringkat negeri menyediakan 60 reruai sepanjang tiga penganjurannya dengan sasaran nilai jualan pakej pelancongan berjumlah RM15 juta.

Katanya, program itu terdiri daripada semua agensi dan penggiat industri pelancongan seperti ejen kembara pelancongan, pengusaha produk pelancongan, pengusaha produk makanan, bank dan perhotelan.

Justeru, beliau yakin pameran berkenaan adalah peluang terbaik untuk penggiat industri pelancongan menghebahkan informasi berkaitan pakej pelancongan berdasarkan kemampuan dan kehendak pelanggan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi tempatan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.-BH Online