Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh menyekat capaian kepada platform penyedia perkhidmatan media sosial, membatalkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C) atau memulakan pendakwaan dalam kes pelanggaran yang lebih berat. 

Ia termaktub dalam langkah yang boleh diambil oleh MCMC terhadap penyedia perkhidmatan berlesen yang melanggar syarat lesen atau keperluan tatalaku.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) mengenai kerangka kawal selia untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial di Malaysia, MCMC akan mempertimbangkan keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan penyedia perkhidmatan dimaksudkan dalam memutuskan tindakan bersesuaian terhadap mereka. 

Dalam perkara ini, MCMC boleh mengambil tindakan merangkumi amaran pentadbiran, pengeluaran arahan pematuhan untuk membetulkan pelanggaran, mengenakan penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan dalam menangani isu pelanggaran ini secara berkadar.

Selain itu, tempoh sah bagi Lesen Kelas ke atas pengendali platform media sosial hanyalah berkuat kuasa selama setahun daripada tarikh pendaftaran. 

Perlu mohon lesen setiap tahun

Berdasarkan FAQ, penyedia perkhidmatan perlu memohon semula setiap tahun lesen terbabit.

“Permohonan semula setiap tahun tahun lesen terbabit dengan syarat mereka memenuhi kriteria sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia,” menurut FAQ terbabit terhadap soalan berapa lamakah tempoh sah lesen tersebut. 

Secara umumnya, pihak penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama termasuk dalam kerangka kawal selia ini. 

Ia tidak terhad kepada Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X dan YouTube sebaliknya tertakluk kepada penyedia perkhidmatan yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia. 

Berdasarkan FAQ itu, sekiranya mana-mana Penyedia Perkhidmatan beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025, tindakan boleh dikenakan di bawah seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Jika disabitkan kesalahan, penyedia perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau lima tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan. 

Keperluan pelesenan bertujuan memupuk suatu persekitaran dalam talian yang selamat dan boleh dipercayai menerusi langkah proaktif oleh penyedia perkhidmatan bagi melindungi pengguna melalui amalan penyederhanaan yang ditambah baik, keperluan tatakelola yang jelas dan pematuhan kepada undang-undang Malaysia. 

Orang awam akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan keselamatan dan penyedia perkhidmatan akan dipertanggungjawabkan ke atas operasi mereka di Malaysia. 

Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, perlindungan yang lebih baik terhadap kandungan memudaratkan serta saluran yang jelas untuk menangani sebarang aduan dan kebimbangan. 

Orang ramai boleh merujuk keseluruhan 21 FAQ itu setebal sembilan muka surat di laman sesawang MCMC.

Berikut adalah FAQ MENGENAI KERANGKA KAWAL SELIA UNTUK PENYEDIA PERKHIDMATAN PESANAN INTERNET DAN MEDIA SOSIAL DI MALAYSIA

1. Apakah objektif kerangka kawal selia ini?

Objektif kerangka kawal selia ini adalah untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya untuk kanak-kanak dan mereka yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian.

Perkembangan semasa telah menunjukkan peningkatan dalam kemudaratan dalam talian terutamanya yang melibatkan kanak-kanak. Merujuk kepada laporan ECPAT1 pada 2022, seramai 100,000 kanak-kanak di Malaysia berisiko kepada pengeksploitasian seksual dalam talian.

Satu laporan UNODC2 bertajuk Casinos, Money Laundering, Underground Banking, and Transnational Organized Crime in East and Southeast Asia: A Hidden and Accelerating Threat yang diterbitkan pada 2024 pula melaporkan di Malaysia, laporan transaksi mencurigakan (“STR”) berkaitan dengan judi dalam talian telah meningkat hampir dua kali ganda antara 2019 dan 2022, mencecah lebih daripada 42,000 laporan. Nilai STR membabitkan jumlah transaksi juga meningkat dengan ketara sebanyak 273% kepada lebih RM26 bilion atau bersamaan dengan USD5.5 bilion dalam tempoh yang sama.

Buli siber juga merupakan isu utama ketika ini apabila 28% daripada kanak-kanak di Malaysia telah menjadi mangsa keganasan dalam talian atau buli siber berdasarkan kepada satu laporan oleh UNICEF pada 2019. Tambahan pula, MCMC telah menerima sejumlah 9,483 laporan buli siber bagi tempoh antara Januari 2022 sehingga Julai 2024.

Dalam pada itu, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial3 Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan dalam talian di Malaysia meningkat dua kali ganda daripada 17,688 kes pada 2019 kepada 34,495 kes pada 2023. Jabatan berkenaan turut melaporkan jumlah kerugian akibat penipuan atau scam bernilai RM1.4 bilion bagi tempoh antara Januari sehingga Julai 2024. 

1 ECPAT ialah sebuah organisasi antarabangsa dengan 124 ahli rakan kongsi di lebih 100 negara yang secara kolektif berusaha untuk menamatkan pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak

2 United Nations Office on Drugs and Crime

3 JSJK / Commercial Crime Investigation Department (CCID)

Mengambil kira peningkatan kemudaratan dalam talian mutakhir ini, seperti yang disokong oleh data di atas, intervensi kawal selia adalah sangat penting dan tepat pada masanya. Kerangka kawal selia ini akan memastikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial (“Penyedia Perkhidmatan”) dipertanggungjawabkan untuk menguruskan operasi mereka dengan lebih baik di Malaysia termasuk menangani secara efektif kandungan yang mudarat, selain memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan jenayah siber pada platform mereka. 

2. Apakah pendekatan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan di Malaysia?

Pendekatan kawal selia yang diambil adalah untuk meletakkan pihak Penyedia Perkhidmatan yang berkenaan di bawah lingkungan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (“AKM 1998”) menerusi keperluan pelesenan.

Sebelum ini, tiada keperluan pelesenan dikenakan ke atas Penyedia Perkhidmatan. Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000 (“EO 2000”) dan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) 2000 (“LR 2000”) telah dipinda pada 1 Ogos 2024 untuk memasukkan kategori Penyedia Perkhidmatan yang perlu dilesenkan berpandukan kepada kriteria spesifik. 

Butiran EO 2000 dan LR 2000 boleh diakses di laman sesawang MCMC:

3. Adakah sesi libat urus dijalankan oleh MCMC sebelum kerangka kawal selia ini dimuktamadkan?

Ya, beberapa sesi libat urus telah diadakan dengan Penyedia Perkhidmatan, Pertubuhan Masyarakat Sivil (“CSO”), Badan Bukan Kerajaan (“NGO”), Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang (“LEA”) dan lain-lain pemegang taruh daripada Januari 2024 sehingga Julai 2024. MCMC akan meneruskan pendekatan kolaboratif dan kerjasama ini dengan semua pihak. 

4. Penyedia perkhidmatan manakah yang dikehendaki untuk dilesenkan di bawah AKM 1998?

Kerangka kawal selia ini hanya terpakai kepada:

a) penyedia perkhidmatan pesanan Internet; dan

b) penyedia perkhidmatan media sosial.

5. Adakah ini bermakna bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial perlu dilesenkan di Malaysia?

Tidak, hanya penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan (8) juta pengguna di Malaysia dikehendaki untuk dilesenkan di bawah AKM 1998. 

6. Bagaimanakah MCMC akan menentukan bilangan pengguna Malaysia di platform yang dikendalikan oleh Penyedia Perkhidmatan?

MCMC akan menggunakan data daripada survei rasminya termasuk Kajian Pengguna Internet MCMC bagi menentukan bilangan pengguna. MCMC akan turut mengambilkira data-data lain yang tersedia secara umum dan boleh dipercayai. 

7. Bilakah tarikh kuat kuasa bagi keperluan pelesenan ini?

Pihak Penyedia Perkhidmatan mempunyai tempoh penangguhan (grace period) selama lima (5) bulan daripada tarikh pewartaan (1 Ogos 2024) untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (“ASP (C)”) dan mematuhi keperluan pelesenan. Tarikh kuat kuasa bagi keperluan pelesenan ini adalah pada 1 Januari 2025.

Nota: Bagaimanapun, sepanjang tempoh penangguhan (grace period) ini, Penyedia Perkhidmatan dikehendaki untuk menggunakan sedaya upaya usaha bagi memerangi kemudaratan dalam talian di platform mereka seperti buli siber, penipuan dan judi dalam talian dan bahan-bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. 

8. Penyedia perkhidmatan manakah yang akan dilesenkan di bawah kerangka kawal selia ini?

Secara umumnya, pihak penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama termasuk tetapi tidak terhad kepada Facebook, Facebook Messenger, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, WeChat, X dan YouTube akan berada di bawah kerangka kawal selia ini, tertakluk kepada Penyedia Perkhidmatan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya lapan (8) juta pengguna di Malaysia. 

• Jenis Penyedia Perkhidmatan

• Kategori Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet 

• Penyedia perkhidmatan pesanan Internet seperti Telegram dan WhatsApp

• Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP (C)] 

• Media Sosial

Penyedia platform media perkongsian kandungan oleh pengguna termasuklah Facebook, Instagram dan TikTok

9. Apakah kriteria untuk memohon lesen ASP (C)?

Kriteria-kriteria untuk memohon lesen ASP (C) adalah seperti berikut:

• Fi pendaftaran

• Permohonan pelesenan dibuat oleh syarikat yang diperbadankan di Malaysia

• Pengemukaan dokumen berdasarkan senarai semak permohonan Lesen Kelas (contoh: borang permohonan, profil syarikat, maklumat perkhidmatan dan lain-lain)

Butiran terperinci boleh diperolehi dalam Buku Panduan Pelesenan kami.

10. Adakah pemerbadanan tempatan (local incorporation) penyedia perkhidmatan merupakan satu keperluan mandatori kriteria pelesenan?

Pemerbadanan tempatan sesebuah entiti adalah satu kriteria prakelayakan untuk pelesenan. Bagaimanapun, di bawah sub-peraturan 23 (2) LR 2000, Menteri mempunyai budi bicara untuk membenarkan mana-mana syarikat asing untuk didaftarkan sebagai pemegang lesen bergantung kepada keperluan tertentu (case-to-case basis).

11. Adakah terdapat sebarang sekatan berkenaan pegangan saham asing di bawah Lesen Kelas?

Tiada. Tidak ada sebarang sekatan dikenakan berkenaan pegangan saham asing di bawah Lesen Kelas. 

12. Berapa lamakah tempoh sah lesen tersebut?

Tempoh sah untuk Lesen Kelas adalah satu (1) tahun daripada tarikh pendaftaran dan Penyedia Perkhidmatan perlu memohon semula setiap tahun dengan syarat mereka memenuhi kriteria sekurang-kurangnya lapan (8) juta pengguna di Malaysia.

13. Apakah kewajipan-kewajipan utama yang terpakai kepada Penyedia Perkhidmatan selepas mereka dilesenkan oleh MCMC?

Pematuhan kepada AKM 1998 

Antara lain, penyedia perkhidmatan mesti mematuhi arahan MCMC yang dikeluarkan menurut seksyen 51 berhubung dengan pematuhan AKM 1998, perundangan subsidiari, atau mana-mana syarat lesen.

Penyedia Perkhidmatan juga dikehendaki mematuhi kewajipan am pemegang lesen menurut seksyen 263:

• Menggunakan dengan sedaya upayanya bagi mencegah perkhidmatan aplikasi yang diberikan daripada digunakan dalam, atau berhubung dengan pelakuan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang Malaysia; dan 

• Membantu MCMC atau mana-mana pihak berkuasa lain dalam mencegah perlakuan atau cubaan pelakuan sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Malaysia.

Pematuhan kepada Syarat Lesen Standard yang Terpakai Kepada Semua Pemegang Lesen ASP (C)4 

Syarat-syarat yang dimaksudkan termasuklah:

 Pematuhan kepada Undang-Undang

(a) Pemegang lesen perlu mematuhi peruntukan di bawah AKM 1998

(b) Pemegang lesen perlu mematuhi peruntukan mana-mana undang-undang subsidiari yang dibuat, atau instrumen-instrumen lain, garis panduan atau dasar kawal selia yang dikeluarkan di bawah AKM 1998.

Pematuhan kepada Kod Pengguna

Pemegang lesen perlu mematuhi mana-mana kod pengguna yang didaftarkan di bawah AKM 1998 yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pemegang lesen.

4 Syarat Lesen Standard ini terpakai kepada semua pemegang lesen kategori ASP (C) termasuk penyedia perkhidmatan awan, penyedia perkhidmatan capaian Internet, dan perkhidmatan selular awam.

Indemniti

Pemegang lesen perlu menanggung rugi Menteri dan MCMC daripada sebarang tuntutan atau prosiding yang timbul daripada sebarang pelanggaran atau kegagalan di pihak pemegang lesen. 

Syarat-syarat standard yang lain

Syarat-syarat standard lain serta perkara yang diisytiharkan oleh Menteri atau diperuntukkan dalam mana-mana perundangan subsidiari di bawah AKM 1998.

• Pematuhan Kepada Perundangan Subsidiari

• Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) 2000

• Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) Pengecualian) 2000

• Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002

• Pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010

14. Apakah keperluan tatalaku yang akan dikenakan kepada Penyedia Perkhidmatan?

Semasa tempoh penangguhan (grace period), MCMC akan membangunkan garis panduan komprehensif yang memperincikan keperluan tatalaku dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh Penyedia Perkhidmatan ketika beroperasi di Malaysia.

Antara lain, Penyedia Perkhidmatan perlu memperkukuh:

• langkah-langkah dan polisi berkaitan perlindungan data pengguna

• langkah-langkah keselamatan kanak-kanak termasuk pengesahan umur untuk menghalang pengguna di bawah umur 13 tahun daripada mengakses platform yang dikendalikan oleh Penyedia Perkhidmatan

• polisi dan langkah-langkah untuk menangani kemudaratan dalam talian termasuk buli siber, penipuan dalam talian dan aktiviti pengantunan seksual

• polisi dan langkah-langkah penyederhanaan kandungan

• ketelusan dalam pengiklanan dan menghalang pengiklanan yang mempromosikan penipuan 

• langkah-langkah untuk melindungi golongan bawah umur daripada kandungan mudarat dan iklan-iklan yang mengelirukan

• langkah-langkah untuk memudahkan prosedur aduan untuk pengguna dan tempoh tindak balas

• langkah-langkah untuk menangani deepfakes dan kemudaratan yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI)

• langkah-langkah pelaporan secara berkala berkenaan pematuhan Penyedia Perkhidmatan kepada undang-undang Malaysia dan keperluan tatalaku

15. Adakah MCMC akan mengadakan rundingan awam untuk membangunkan garis panduan mengenai keperluan tatalaku bagi Penyedia Perkhidmatan?

Ya, MCMC akan mengadakan rundingan awam untuk membangunkan garis panduan tersebut. Semua pemegang taruh termasuklah Penyedia Perkhidmatan, CSO, NGO, LEA, tokoh-tokoh akademik, pakar serta individu, adalah dijemput untuk memberikan maklum balas mengenai garis panduan tersebut sebaik sahaja proses rundingan awam bermula.

16. Apakah yang akan terjadi jika perkhidmatan yang ditawarkan oleh Penyedia Perkhidmatan tidak mendapatkan lesen yang dikehendaki bermula 1 Januari 2025?

Sekiranya mana-mana Penyedia Perkhidmatan beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025, tindakan boleh dikenakan di bawah seksyen 126 AKM 1998. Jika disabitkan kesalahan, Penyedia Perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau lima (5) tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

17. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh MCMC terhadap Penyedia Perkhidmatan berlesen yang melanggar syarat lesen dan/atau keperluan tatalaku?

MCMC akan mempertimbangkan keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan Penyedia Perkhidmatan yang dimaksudkan dalam memutuskan tindakan yang bersesuaian terhadap mereka. Dalam perkara ini, MCMC boleh mengambil tindakan merangkumi amaran pentadbiran, pengeluaran arahan pematuhan untuk membetulkan pelanggaran, mengenakan penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan dalam menangani isu pelanggaran ini secara berkadar. Dalam kes pelanggaran yang lebih berat, MCMC boleh menyekat capaian kepada platform Penyedia Perkhidmatan tersebut; membatalkan lesen ASP (C); atau memulakan pendakwaan.

18. Selepas penyedia perkhidmatan dilesenkan, adakah mereka boleh mencabar keputusan atau arahan tersebut?

Ya, keputusan atau arahan MCMC adalah tertakluk kepada proses dan prosedur yang diperuntukkan di bawah AKM 1998. Di bawah AKM 1998, terdapat perlindungan kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia, proses undang-undang yang sewajarnya dan perlindungan ke atas kebebasan bersuara. 

Sebagai contoh, seksyen 51 AKM 1998 memperuntukkan bahawa MCMC boleh mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak berhubung pematuhan syarat lesen, peruntukan di bawah AKM 1998 dan mana-mana perundangan subsidiari. Bagaimanapun, pengeluaran arahan ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya dan mesti mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya. Orang itu akan diberikan peluang untuk didengari sebelum keputusan atau arahan dibuat.

Selain itu, sekiranya mana-mana Penyedia Perkhidmatan terkesan dengan keputusan atau arahan MCMC, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan yang ditubuhkan di bawah AKM 1998 dan selanjutnya merujuk kepada semakan kehakiman.

19. Adakah terdapat mana-mana pihak yang pernah mencabar keputusan atau arahan MCMC di Tribunal Rayuan?

Ya, terdapat beberapa pemegang lesen di bawah AKM 1998 yang telah mengemukakan rayuan kepada Tribunal Rayuan mengenai pelbagai isu sejak 2020. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk di Tribunal Rayuan dan Komunikasi dan Multimedia 

20. Apakah signifikan kerangka kawal selia ini kepada Malaysia?

Keperluan pelesenan bertujuan untuk memupuk suatu persekitaran dalam talian yang selamat dan boleh dipercayai menerusi langkah-langkah proaktif oleh penyedia perkhidmatan bagi melindungi pengguna melalui amalan penyederhanaan yang ditambah baik, keperluan tatakelola yang jelas dan pematuhan kepada undang-undang Malaysia.

Orang awam akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan keselamatan dan penyedia perkhidmatan akan dipertanggungjawabkan ke atas operasi mereka di Malaysia.

Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, perlindungan yang lebih baik terhadap kandungan memudaratkan serta saluran yang jelas untuk menangani sebarang aduan dan kebimbangan.

21. Bagaimana negara dan rantau lain mengawal selia perkhidmatan dalam talian?

Kerangka ini telah ditanda aras dan selari dengan amalan global terbaik dan perkembangan yang dilihat di Singapura, Indonesia, India, Australia, United Kingdom (UK), Ireland, Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) yang telah pun memperkenalkan kaedah kawal selia domestik ke atas perkhidmatan dalam talian termasuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Walaupun pendekatan berbeza digunakan dalam kaedah mengawal selia perkhidmatan dalam talian di negara-negara dan rantau lain, terdapat persamaan yang utama dari segi pelaksanaannya. Antara lain, terdapat kesepakatan dalam mencegah kandungan mudarat serta memastikan perkhidmatan dalam talian mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pengguna mereka.

Selain daripada itu, lain-lain aspek yang turut ditanda aras termasuklah perlindungan ke atas data pengguna, langkah-langkah keselamatan kanak-kanak, memerangi gangguan dalam talian dan buli siber, penggunaan data pengguna untuk tujuan pengiklanan secara beretika, serta pemerkasaan pengguna.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: policy.review@mcmc.gov.my

-BH Online