BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di wilayah selatan untuk membincangkan isu keselamatan sempadan dan kewarganegaraan dua negara.
Srettha berkata beliau akan bertemu dengan agensi keselamatan yang berkenaan esok sebagai persiapan mesyuarat dengan Anwar.
“Kami akan bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia untuk membincangkan isu keselamatan sempadan dan kewarganegaraan dua negara pada 3 Ogos ini di wilayah sempadan selatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan di sini pada hari Selasa.null
Srettha berkata, Menteri Dalam Negeri dan Panglima Tentera Diraja Thai akan turut serta dalam delegasi ketika lawatannya ke wilayah selatan pada hari Sabtu ini.
Namun, Srettha tidak memberikan butiran lanjut mengenai wilayah yang mana satu berlangsung mesyuarat itu Sabtu ini.
Ini adalah lawatan kerja kedua kedua-dua pemimpin ke wilayah sempadan.
Pada 27 November tahun lalu, Srettha dan Anwar melakukan lawatan kerja ke Sadao, Songkhla, di selatan Thailand untuk membincangkan kerjasama dua hala.
Lawatan itu yang diadakan atas jemputan Srettha, antara lain bertujuan menyemak kemajuan projek penyelarasan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.
Kedua-dua perdana menteri sudah bertemu sekurang-kurangnya enam kali sejak Srettha mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 5 September lalu.
Pertemuan pertama kedua-dua pemimpin adalah di luar sidang ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) .
Pertemuan terkini adalah pada Mei tahun ini, apabila kedua-dua perdana menteri bertemu di Jepun di luar sidang Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei).-BH Online