Penyebaran maklumat bahaya yang kian berleluasa di media sosial memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan, termasuk yang tidak popular bagi menanganinya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan punyai masalah sekarang apabila kita cuba perkenalkan beberapa sekatan yang tidak semestinya popular kerana mereka yang yakin terhadap kebebasan tanpa kawalan, berhak untuk ekspresikan pandangan tanpa mengambil kira impaknya kepada masyarakat,” kata Perdana Menteri.
Dalam ucapan pada majlis perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini hari ini, beliau berkata, usaha menangani lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber menerusi media sosial memerlukan lebih banyak peraturan.
“Mereka mengabaikan hakikat bahawa ada wanita mengambil keputusan, terpaksa atau terdesak untuk melakukan perbuatan bunuh diri disebabkan sesuatu pencabulan,” katanya dipercayai merujuk kes kematian pempengaruh media sosial dan aktivis, Rajeswary Appahu, 29, atau Esha pada 5 Julai lalu.
Wanita itu ditemui mati di kediamannya di sebuah kondominium di Setapak, sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Kematiannya dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapi berikutan menjadi mangsa buli siber.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan dikuat kuasa 1 Januari depan selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan internet diperkenal 1 Ogos ini, selaras keputusan Kabinet bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
Kegagalan memperoleh lesen, langkah diperkenal dalam usaha memerangi peningkatan kes jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak itu, boleh dikenakan tindakan perundangan sewajarnya mengikut Akta 588.
Kerangka kawal selia baharu itu hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak membabitkan pengguna. Ia bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman lebih baik untuk pengguna terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.
Sementara itu, WCIT 2024 yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dihadiri lebih 1,000 hadirian terdiri ulama, pemimpin, intelektual dan profesional dari dalam dan luar negara, termasuk bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Ketika ditemui pemberita, Jusuf berpandangan WCIT 2024 dapat menjadi contoh terbaik kepada negara-negara Islam lain dalam mempromosi dialog intelektual dan pertukaran idea di peringkat global.
Dalam menghadapi cabaran dan konflik dunia, beliau berkata, umat Islam perlu bersatu dan mengutamakan nilai kemanusian sejagat kerana ajaran agama suci itu bukan hanya mengenai hukum fikah, malah muamalah supaya wujud hubungan baik sesama manusia.
Katanya, ketika negara Islam seperti Palestin terutama Gaza, Libya dan Yaman berdepan konflik, masyarakat dan seluruh dunia Islam perlu bersatu untuk mencegah dengan lebih membicarakan mengenai hal kemanusiaan.-BH Online